Date: Sabtu, 25 June 2016
Time: 6PM-930PM
Venue: Graha Pemuda, Sri Hartamas
Presenter: Ahmad Muziru Idham
Organized by: Islamic Renaissance Front
Perubahan zaman yang menuju ke arah era globalisasi membawa masyarakat dan dunia ke arah naratif keduniaan yang semakin kompleks. Proses modernisasi telah membawa pelbagai cabaran terhadap pembangunan kemanusiaan. Sebagai salah seorang daripada warga dunia, umat Islam pada hari ini benar-benar memerlukan kepada suatu anjakan perubahan terhadap pendekatan tradisi disiplin ilmu dan pemikiran Islam dalam memastikan semangat yang dibawa daripada teks Islam dapat berintegrasi terhadap konteks zaman yang semakin mencabar.
Menyedari perkara tersebut, Tariq Ramadan mencadangkan suatu reformasi (tajdid) secara besar-besaran terhadap disiplin tradisi Islam dan penaakulan ke atas teks wahyu dalam memastikan agar pengintegrasian antara teks dan konteks dapat disepadukan dalam menyegarkan kembali maksud sebenar yang dibawa oleh agama. Beliau tidak sekadar membuat semakan semula terhadap ilmu alat serta sejarah perlaksanaan fekah, tetapi juga terhadap sumber-sumbernya, pengkategoriannya, dan dalam masa yang sama melakukan peninjauan semula terhadap kaedah-kaedah usul fiqh, lingkungan autoritinya dan sifat pendekatan yang dibawa terhadapnya dalam menafsirkan syariah.
Reformasi yang dibawa oleh Tariq Ramadan menuju ke arah perdamaian antara dimensi spiritual agama dan pembacaan semula teks wahyu kerana menyedari bahawa disiplin tradisi Islam yang digagaskan oleh ilmuwan Islam lampau telah sampai kepada perbatasannya untuk berhubungan dengan konteks era kontemporari yang kompleks. Disiplin tradisi keilmuan Islam perlu disemak semula dan diberi pembaharuan yang sesuai dengan semangat zaman dalam memastikan prinsip-prinsip universaliti yang dibawa oleh teks tidak terhalang oleh pentafsiran teks dan gagasan disiplin yang bersifat terbatas.
Oleh sebab itu, bahagian pertama untuk sesi bedah buku Radical Reform ini akan membincangkan tentang konsep “reform” yang membawa pendekatan tajdid dan islah dalam berhubungan antara teks dan konteks. Seterusnya, akan dibincangkan tentang bagaimana untuk melihat perbezaan perkara fundamental dalam lingkungan kehidupan antara prinsip at-Thawabit (tetap) dan al-Mutaghayyirat (berubah-ubah). Akhir sekali, akan dibincangkan tentang seruan Tariq Ramadan untuk menuju lebih jauh daripada sekadar reformasi beradaptasi (adaptation reform) yang terdedah kepada pemanipulasian agama menuju kepada reformasi transformasi (transformation reform) yang lebih mendorong kepada pembingkaian nilai-nilai moral ke arah pemantapan konteks sesuatu perkara dan menutup ruang-ruang ketidakadilan daripada pemanipulasian teks untuk berlaku.
Program:
1800-1810: Ucapan moderator, Imran Mohd Rasid
1810-1900: Pembentangan tentang Radical Reform: Islamic Ethics And Liberation – Bahagian I oleh Ahmad Muziru Idham
1900-1930: Perbincangan dan soal jawab
1930-2030: Iftar dan Solat
2030-2130: Solat dan Tarawih
2130: Moreh