Berzikir dan berdo’a beramai-ramai sesudah solat itu apakah sunnah atau bid’ah?
December 13, 2024

Ahmad Farouk Musa & Manan Razali || 12 Disember 2024

 

Sesungguhnya Nabi telah mengingatkan kepada kita bahawa akan datang satu zaman di mana akan terdapat pertelingkahan yang amat dahsyat dan di ketika itu hendaklah kita berpegang kepada as-sunnah. Masalah yang timbul bagi kebanyakan orang awam ialah apakah sunnah yang sebenarnya. Ramai yang terikut-ikut akan perbuatan para agamawan dalam beragama dengan sangkaan bahawa itulah yang sebenarnya sunnah. Dan sebarang bentuk sanggahan akan membawa erti tidak hormat pada para agamawan dan Imam mazhab. Dan siapakah yang lebih alim dalam memahami agama daripada para agamawan tersebut. Sedangkan ramai yang masih keliru apakan yang sedemikian itu saranan Imam mazhab.

Lantaran itulah maka terdapat ayat al-Qur’an yang dikutip oleh seorang mujāhid yang terkenal Asy-Syahid Sayyid Qutb tatkala beliau meningatkan kita dalam bukunya yang dianggap sebagai buku teks bagi para penggerak da’wah “Ma’ãlim fī-at Tarīq – Petunjuk Senjang Zaman” betapa perlunya berpegang pada kitab Allah dan bukan hanya bertaqlid kepada manusia.

Firman Allah:

“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan kepada mereka agama yang tidak diizinkan oleh Allah?” [Surah asy-Syūra; 42: 21]

Dan telah bersabda ar-Rasul:

“Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah Khulafa’ ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat”

[Riwayat Abu Dawud dan at-Tarmizi. Kata at-Tarmizi: Hadith ini hasan sahih. Diriwayatkan juga oleh Ibnu Hibban dan al-Hakim di dalam al Mustadrak dengan mengatakan hadith ini sahih. Hal ini dipersetujui oleh az-Zahabi di dalam Tahqiq al-Mustadrak]

 

Zikir beramai-ramai pada akhir solat

Persoalan tentang sunnah dan bid’ah adalah suatu persoalan yang panjang. Secara ringkasnya sunnah yang kita maksudkan adalah dalam urusan ibadah, bukannya dalam hal mu’amalah atau kehidupan seharian. Kerana sering kita dengar orang yang mempermainkan isu sunnah dan bid’ah ini dengan mengatakan, kalau betul mahu ikut sunnah, maka naiklah unta, bukannya motokar. Perkataan ini lahir daripada hati yang keras yang tidak mahu tunduk pada sunnah Nabi. Kita dapat memaafkan jika ia lahir daripada hati yang jahil, tapi amat sedih sekiranya perkara seperti ini dimomokkan oleh sebahagian orang, tambahan pula sekiranya orang yang berilmu. Mengikuti sunnah bukan hanya dalam menghidupkan sunnah yang diajar Nabi dalam beribadah melalui kata-kata dan perbuatan Baginda sahaja, tetapi juga meninggalkan apa-apa perkara yang ditinggalkan Nabi dalam urusan agama ini walaupun ada kehendak melakukan yang sedemikian itu pada zaman tersebut. Meninggalkan apa yang ditinggalkan Nabi dalam urusan agama ini juga adalah sunnah.

Hal sebegini tidak akan jelas melainkan kami membawa contoh-contohnya tapi bukan pada kali ini. Kali ini kita membicarakan isu yang sangat lazim dalam kehidupan kita seharian. Pada kali ini kita hanya ingan membicarakan perkara yang sering kita lihat pada setipa akhir solat berjama’ah samada di masjid, surau, musolla, dan sebagainya. Marilah kita melihat secara adil dan saksama tentang permasalahan berzikir secara jahar (kuat) yang dilakukan secara berjamaah sepertimana yang telah dinukilkan daripada hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, seorang sahabat Nabi yang unggul.  Perbuatan sebgini diamalkan oleh ramai umat Islam di Malaysia ini yang mengkhatamkan solat dengan berzikir dan berdo’a beramai-ramai. Ketika mengulas hadith Ibnu Abbas tersebut, yakni “Meninggikan suara berzikir selepas orang ramai
selesai daripada solat fardu sudah pun berlaku pada zaman Nabi”; 
al-Imam asy-Syafie berkata: “Pendapatku untuk imam dan ma’mum hendaklah mereka berzikir setelah selesai solat. Hendaklah mereka mengisrarkan (memperlahankan) zikir kecuali jika imam mahu dipelajari daripadanya, maka ketika itu dijaharkan zikir. Sehinggalah apabila didapati telah dipelajari daripadanya, maka sesudah itu hendaklah ia israrkan. [Mausu’at al-Imam asy-Syafie: al-Umm, jilid 1]

 

Pandangan Imam asy-Syāfie

Adapun hadith Ibnu Abbas tersebut, Imam asy-Syafie menjelaskan: “Aku berpendapat Baginda menjaharkan zikir hanya untuk seketika untuk orang ramai mempelajari daripada Baginda. Hal ini kerana kebanyakan riwayat yang telah kami tulis bersama ini atau selainnya tidak menyebut selepas salam terdapat tahlil dan takbir. (Maksud Imam asy-Syafie ialah apa yang beliau tulis dalam al-Umm tersebut dalam bab kalam al-Imam wajulūsihi ba’das-salam yang mana beliau telah mengemukakan beberapa hadith yang menunjukkan Baginda tidak menjaharkan suara ketika zikir sesudah solat.) Kadangkala riwayat menyebut Baginda berzikir selepas solat seperti yang aku nyatakan, kadangkala disebut Baginda pergi tanpa zikir. Ummu Salamah pula menyebut duduknya Baginda (sesudah solat) tetapi tidak menyebut Baginda berzikir secara jahar. Aku berpendapat Baginda tidak duduk melainkan untuk berzikir secara sirr (perlahan).”

Maksud al-Imam asy-Syafie di sini ialah hadith riwayat Ummu Salamah: “Adalah Rasulullah apabila telah memberi salam, bangunlah para wanita dikala Nabi selesai memberi salam itu. Sedang Nabi duduk sejenak ditempatnya sebelum berdiri. Kami berfikir; Nabi berbuat demikian untuk memberi kesempatan kepada wanita keluar lebih dahulu agar tidak berdesakan dengan para lelaki.” [Riwayat Ahmad dan Bukhari; al- Muntaqa]

Selanjutnya al-Imam asy-Syafie berkata: “Jika seseorang berkata: Seperti apa? (yakni apakah contoh yang Baginda lakukan hanya seketika kemudian setelah orang ramai mempelajarinya, Baginda tinggalkan) Aku katakan: Sepertimana Baginda pernah bersolat di atas mimbar, yang mana Baginda berdiri dan ruku’ di atasnya, kemudian Baginda undur ke belakang untuk sujud di atas tanah. Kebanyakan umur baginda, Baginda tidak solat di atasnya (mimbar). Akan tetapi aku berpendapat, Baginda mahu agar sesiapa yang jauh yang tidak melihat Baginda dapat mengetahui bagaimana berdiri (di dalam solat), ruku’ dan bangun daripada sujud. Baginda ingin mengajar mereka keluasan dalam itu semua.”

Sambungnya lagi: “Aku suka sekiranya imam berzikir nama Allah di tempat duduknya sedikit dengan kadar yang seketika sehingga kaum wanita pergi. Hal ini seperti yang dikatakan oleh Ummu Salamah. Kemudian Imam boleh bangun. Jika dia bangun sebelum daripada itu, atau duduk lebih lama daripada itu, tidak mengapa. Ma’mum pula boleh pergi setelah imam selesai memberi salam, sebelum imam bangun. Jika dia lewatkan sehingga imam pergi, atau bersama imam, itu lebih aku sukai untuknya.”

Demikianlah huraian Imam asy-Syafie berhubung hadith Ibnu Abbas tersebut. Apa yang jelas Imam asy-Syafie yang dikenali sebagai ‘nasīrus-sunnah’ tidak pernah menyebutkan bahawa Nabi dan para sahabatnya berkekalan berbuat sedemikian yakni menjaharkan zikir sesudah solat sepertimana yang dilakukan oleh umat Islam yang mengaku bermazhab Syafie di negara kita ini. Sekiranya para sahabat yang terdahulu senantiasa menjaharkan zikir sesudah solat, sudah tentulah telah diriwayatkan dengan berbagai jalan dan berlaku ijma’ para sahabat dalam hal yang sedemikian itu. Akan tetapi kita tidak menjumpai perkara yang sedemikan rupa. Jelaslah sudah bahawa perbuatan berzikir beramai-ramai secara jahar menyanggahi apa yang telah di fatwakan oleh Imam asy-Syafie sendiri dan apa yang diwarisi daripada as-sunnah. Mereka memandang sunnah perbuatan yang sedemikian itu sehingga mereka merasakan orang yang meninggalkan perkara tersebut seakan-akan telah meninggalkan sunnah ar-Rasul.

Selanjutnya al-Baihaqi dan selainnya berhujah untuk mengisrarkan zikir sesudah solat dengan hadith Abu Musa al-Asya’ari ujarnya: “Kami telah menyertai Nabi di dalam satu perjalanan. Kami apabila turun ke suatu lembah, kami bertahlil dan bertakbir sehingga bergema suara kami. Maka Nabi bersabda: Wahai manusia, berlemah-lembutlah kamu terhadap dirimu, kerana kamu bukan menyeru kepada Dia yang pekak dan bukan pula menyeru kepada Dia yang jauh, tetapi Dia yang senantiasa dekat dengan dirimu”

 

Berdo’a berjama’ah dengan mengaminkan do’a imam

Apa yang lebih jelek ialah mereka mengadakan suatu bid’ah yang tidak dikenali dizaman Rasulullah dan para sahabatnya iaitu berterus-terusan berdo’a beramai-ramai sesudah solat iaitu dengan berdo’anya imam dan diaminkan para ma’mum. Manakah nas daripada as-sunnah yang dapat menjadi dalil bagi perbuatan yang sedemikian ini? Adakah kerana tidak ada satu nas pun daripada as-sunnah yang boleh di kemukakan untuk menjadi dalil, lantas merasa cukup untuk membawa nas yang mengizinkan menjaharkan zikir dengan harapan manusia akan terpedaya dan menganggap  perbuatan berdo’a beramai-ramai ini juga sebahagian daripada as-sunnah?

Al-Imam an-Nawawi berkata dalam hal ini: “Tidaklah ada khilaf tentang kesunnatan adanya zikir sesudah solat, bagi imam, bagi ma’mum, dan bagi yang bersolat bersendirian. Masing-masing berzikir sendiri-sendiri. Adat yang diadakan manusia, iaitu imam menentukan doa buat solat subuh dan asar, tiada berasal sama sekali. Berjabat tangan sesudah solat subuh dan asar adalah suatu bid’ah” [al-Majmu’ III]

Berkata al-Imam Ibnul Qayyim: “Imam berdoa sesudah salam daripada solat sambil menghadap qiblat, atau menghadap ma’mum tidak pernah dikerjakan Nabi, yang senantiasa bertindak sebagai imam, dan tidak ada pula riwayat yang menyuruh kita mengerjakan yang sedemikian itu.” [Zādul Ma’ad I]

Berkata pula al-Ustaz Ali Mahfuz di dalam al-Ibda’: “Nabi tidak pernah duduk sambil menghadap ma’mum untuk membaca doa sesudah solat dengan suara yang keras serta terus menerus melakukan yang sedemikian itu. Lantaran itu, orang awam menyangka bahawa begitulah seharusnya mengkhatamkan solat, padahal yang disukai ialah berdoa secara sendiri-sendiri. Dan mengapa harus kita mengeraskan suara waktu berdoa, padahal Allah telah berfirman: Serulah Tuhanmu dengan tadarru’ dan khufyah, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah alA’raf; 7: 55] Tadarru’ ialah berlaku khusyu’, tenang, dan merasa rendah diri berhadapan dengan Allah. Khufyah ialah menyebut sesuatu dengan menghaluskan suara.” [al-Ibda’]

 

Peringatan buat kaum Muslimin

Hadith Nabi yang memberi amaran kepada pengamal dan pembuat bid’ah sangat banyak jumlahnya. Cukuplah sekiranya kami mendatangkan satu athar untuk membuktikan betapa prihatinnya para sahabat Nabi dalam perkara yang berhubung dengan ibadah ini. Mereka senantiasa mengingkari sesuatu ibadah yang tidak ada contoh daripada Nabi walaupun dipandang baik oleh mata manusia.

Daripada ‘Amr bin Salamah (murid kepada Abdullah bin Mas’ud) katanya: Suatu ketika kami duduk di pintu Abdullah bin Mas’ud sebelum solat subuh. Apabila beliau keluar, kami akan berjalan bersamanya ke masjid. Tiba-tiba datang kepada kami Abu Musa al-Asy’ari lalu bertanya: Apakah Abu Abdul Rahman (gelaran Abdullah bin Mas’ud) telah keluar kepada kamu? Kami jawab: Tidak. Maka beliau duduk bersama kami sehingga Abdullah bin Mas’ud keluar. Apabila beliau keluar, kami semua bangun kepadanya. Lalu Abu Musa al-Asy’ari berkata: Wahai Abu Abdul Rahman, aku telah melihat di masjid tadi satu perkara yang aku tidak bersetuju, tetapi aku tidak melihat, alhamdulillah, melainkan ianya baik. Beliau bertanya: Apakah dia? Kata Abu Musa: Jika umur kamu panjang kamu akan melihatnya. Aku melihat satu puak, mereka duduk dalam lingkungan menunggu solat. Bagi setiap lingkungan ada seorang lelaki (ketua), sementara di tangan mereka yang lain ada anak-anak batu. Apabila lelaki itu berkata: Takbir seratus kali, merekapun bertakbir. Apabila dia berkata: Tahlil seratus kali, merekapun bertahlil. Apabila dia berkata: Tasbih seratus kali, merekapun bertasbih. Tanya Abdullah bin Mas’ud: Apa yang telah kamu katakan kepada mereka. Jawabnya: Aku tidak berkata apa-apapun kerana menanti pandangan dan perintahmu.”

Berkata Abdullah bin Mas’ud: “Mengapa engkau tidak menyuruh mereka mengira dosa-dosa mereka dan memberi jaminan pahala mereka tidak akan hilang sedikitpun?” Lalu beliau berjalan dan kamipun berjalan bersama. Sehinggalah beliau tiba di salah satu lingkungan tersebut. Beliau berdiri lantas berkata: “Apa yang aku lihat kamu sedang lakukan ini?” Jawab mereka: “Wahai Abu Abdul Rahman, batu yang dengannya kami menghitung takbir, tahlil dan tasbih.” Jawab beliau: “Hitunglah dosa-dosa kamu, aku jamin pahala kamu tidak hilang sedikitpun. Celaka kamu wahai umat Muhammad! Alangkah cepat kemusnahan kamu. Para sahabat Nabi masih lagi ramai, baju Baginda belum lagi buruk, bekas makanan dan minuman Baginda belum lagi pecah. Demi jiwaku yang berada ditanganNya, apakah kamu berada di atas agama yang lebih mendapat petunjuk daripada agama Muhammad, atau kamu semua pembuka pintu kesesatan.”

Jawab mereka: “Demi Allah wahai Abu Abdul Rahman, kami hanya bertujuan baik.” Jawab beliau: “Betapa ramai yang bertujuan baik tetapi tidak menepatinya. Sesungguhnya Rasulullah telah menceritakan kepada kami satu kaum yang membaca al-Qur’an namun tidak lebih daripada kerongkong mereka. Demi Allah, aku tidak tahu, barangkali kebanyakan mereka daripada kalangan kamu”. Kemudian beliau pergi.

Berkata ‘Amr bin Salamah: Kami melihat kebanyakan puak tersebut bersama Khawarij memerangi kami pada hari Nahrawan. [Riwayat ad-Dārimi di dalam Musnadnya dengan sanad yang dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Silsilah al-Ahādith as-Sohihah V]

Lihatlah betapa Abdullah bin Mas’ud membantah perbuatan ibadah berzikir beramai-ramai yang diamalkan kumpulan tersebut walaupun mereka pada asalnya memiliki niat dan pandangan yang baik. Pada zahirnya tiada yang buruk pada perbuatan mereka. Namun kerana ia merupakan ibadah yang tidak ada contoh daripada Nabi, maka ia ditolak. Bahkan Abdullah bin Mas’ud memberi amaran betapa perbuatan bid’ah yang kecil akan mengheret seseorang kepada bid’ah yang lebih besar.

 

Penutup: Pesanan Syeikh Yusuf al-Qaradawi

Akhir kata perhatikanlah apa yang telah disebut oleh Syeikh Yusuf al-Qaradawi: “Hendaklah seorang Muslim dalam ibadahnya mengikut batasan yang ditentukan untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan untuk keredaan Allah semata. Bahkan hendaklah ibadah itu dilakukan dalam bentuk yang disyari’atkan Allah dengan kaifiyyat (tatacara) yang diredaiNya. Janganlah ibadah seorang Muslim itu berdasarkan apa yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan.”

Selanjutnya beliau berkata: “Tidak boleh sesiapapun daripada imam-imam kaum muslimin betapa tinggi sekalipun darjat ilmunya, demikian juga tidak boleh mana-mana badan ilmu sekalipun hebat kedudukannya, demikian juga bagi mana-mana institusi ilmu, atau golongan daripada kaum muslimin samada kecil atau besar, untuk mencipta ibadah yang baru dalam agama Allah atau menokok-nambah ibadah yang ada dalam agama atau mengubah cara yang dilakukan pada zaman Rasulullah. Hal ini memandangkan pembuat syari’at hanyalah Allah manakala ar-Rasul adalah penyampainya, sedangkan kita hanyalah pengikutnya. Segala kebaikan itu dalam al-ittiba’ (mengikut apa yang ditentukan Allah dan rasulNya). [Al-‘Ibãdah fil-Islam]


Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa adalah ahli pengasas Muslim Professionals Forum. Beliau juga adalah Pengasas dan Pengarah di Islamic Renaissance Front.

 

Haji Manan Razali adalah ahli pengasas Muslim Professionals Forum. Beliau juga adalah Pengasas-bersama di Islamic Renaissance Front.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022