Ahmad Nabil Amir || 21 Ogos 2021
“Seribu orang tua hanya dapat bermimpi, satu orang pemuda dapat mengubah dunia” Presiden Soekarno
Dalam sejarah politik dan struktur pemerintahan di Malaysia, Parti Islam se-Malaysia PAS memainkan peranan yang cukup penting dalam menentukan corak dan landas perjuangan politik di Tanah Melayu sejak ditubuhkan pada 4 April 1956. Antara gagasan terpenting PAS yang dicerakinkan dalam perlembagaannya (pindaan 2001) adalah “memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah” dan “mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara”
Dan cita-cita ini jelas terungkap dalam pemasyhurannya: “Bahawa dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan al-amru bil ma‘ruf wan nahyu ‘anil munkar dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisytiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan Parti Islam Se-Malaysia.”
Dalam bukunya Islam Embedded yang menganalisis sejarah perkembangan PAS sejak tahun 1951-2003, Dr Farish Noor menzahirkan pandangannya tentang PAS sebagai: “the most remarkable political party in the history of Malaysia”. Kebangkitan PAS antara tahun 1999-2003 telah meletakkannya ke posisi yang penting dalam arus politik tanah air: “the Pan-Malaysian Islamic Party (PAS) had become the biggest and most important opposition party in Malaysia”.
Dr Mujahid Yusof Rawa dalam bukunya Menuju PAS Baru berhujah bahawa perjuangan membina kekuatan parti harus diperkukuh dengan wacana baru yang dapat merumuskan pandangan politik Islam yang syumul dan dinamis.
Dr Siddiq Fadzil, dalam ucapannya yang noltalgik “Memahami Garis-Garis Besar Haluan Perjuangan” merumuskan bahawa perjuangan “Islam mempunyai misi tahriri-tanwiri (pembebasan dan pencerahan) yang bertujuan mengangkat harkat dan darjat manusia.”
Antara tiga garis besar yang membentuk fikrah dasar perjuangan PAS adalah menzahirkan cita-cita murni melaksanakan tuntutan syari’at, menyalakan obor nahdah, dan menegakkan syiar agama dan iltizam perjuangan ini terus dibakar dan dinyalakan dalam perjuangan menuntut pembaharuan dan reformasi Islam. Pemimpin ulung yang telah berjasa membangun dan memperkasai perjuangan ini sejak mula tak lain adalah Dr Burhanuddin al-Helmy yang memimpin perjuangan daripada tahun 1956-1969, sang doktor yang telah menebus dan mewakafkan hidupnya untuk satu perjuangan yang tak dapat dikompromi dan ditawar-tawar oleh sogokan dan ugutan penjajah.
Latar kehidupan
Nama asalnya ialah Amir Burhanuddin bin Ungku Mohammad Noor. Beliau dilahirkan pada 29 November 1911 di Kampung Changkat Tualang, Kota Bharu, Perak. Pak Doktor berasal daripada keturunan ulama’ dan sufi dari Sumatra yang berhijrah ke Tanah Melayu. Bapanya, Haji Muhammad Noor, adalah seorang alim Minangkabau yang mengajar tasawuf dan mengusahakan ladang tani. Beliau pernah berguru kepada Sheikh Mohammad Khatib al-Minangkabawi dan beberapa pemuka agama di Mekah. Ibunya Sharifah Zahrah Habib Osman adalah wanita Melaka dari suku peranakan Arab-Melayu. Mereka bertemu di Perak setelah Haji Muhammad Noor kembali dari menunaikan haji di Mekah.
Menurut Dr Burhanuddin dalam lakaran kisah hidupnya: “Ayahanda saya adalah seorang tasawwuf dan bertariqah Naqshabandi serta dengan lurus dan wara‘nya. Maka saya daripada kecilnya dilatih secara wara’nya dan mesti kuat beribadat mengikut-ngikut dia sembahyang berjamaah, membaca Qur’an dan [Maulid karya] al-Barzanji, ahzab dan zikir. Sebagai orang muda tiadalah saya tahu apa-apa. Saya ikut-ikut itu kerana malu dan segan jua. Saya lakukan dengan berat kerana kawan-kawan lain dapat lepas dan bermain-main saya tidak.” (Simposium Tariqat dan Tasawuf, 1972)
Dr Buhanuddin digelar al-Hulaymi atau al-Helmy kerana karakternya yang tenang dan penyabar, seperti bapanya yang digelar Abi Halim, sebagaimana dilukiskan oleh Saliha Haji Hassan dalam tulisannya Dr Burhanuddin Al-Helmy, A Political Biography: “Pilihan kata asal al-Hulaimi itu benar-benar melambangkan keperibadian Dr Burhanuddin yang lemah-lembut, santun, tenang, sabar… istilah al–Hulaimi menurut hukum tatabahasa Arab mempunyai makna yang sama dengan al-Helmy tetapi dalam bentuk yang merendah atau lebih kecil (Saliha Hj. Hassan 1997; Dr Burhanuddin Al-Helmy, A Political Biography). Beliau turut dikenal sebagai Pak Doktor di kalangan pengikut dan rakannya.
Pada tahun 1927, beliau merantau ke Pulau Pinang untuk menuntut di Madrasah al-Mashoor al-Islamiyyah dan berguru dengan pemikir dan reformis penting seperti Shaikh Abu Bakar al-Rafi‘i, Haji Arshad al-Bawayih, dan Ashiran Yaakob, yang menggerakkan perjuangan Kaum Muda yang telah dicetuskan oleh Syed Sheikh al-Hadi, dan Sheikh Mohamad Tahir Jalaluddin al-Azhari di Tanah Melayu. Beliau menamatkan pelajarannya dengan memperoleh thanawi (menengah atas) pada tahun 1934.
Kemudian, dengan biasiswa yang ditawarkan oleh saudagar India Muslim, beliau melanjutkan pelajaran ke India dan mengambil kursus perubatan homeopatik di Madrasah al-‘Ulum Musalmanan (Anglo Indian College) di Aligarh. Madrasah yang ditubuhkan oleh Sir Sayyid Ahmad Khan pada tahun 1875 ini berhasrat untuk melahirkan para reformis Islam yang mahir dalam falsafah moden dan disiplin sains yang luas.
Dr Burhanuddin berhasil menyiapkan tesis kedoktorannya dalam bidang falsafah, dan sewaktu menyusun disertasinya beliau merujuk kepada karya-karya besar dalam bahasa Arab dan Eropah, dan menelusuri sejarah pemikiran dan peradaban dunia yang ditulis oleh kelompok sarjana dari timur dan barat, dan berhasil menggarap dan menguasai dengan baik lima bahasa besar.
Demikian dirakamkannya: “Maka saya di India saya dapat mempelajari bahasa Inggeris dan Perancis, dan dalam mempelajari ilmu-ilmu kedoktoran homeopati asas Belanda memudahkan saya mempelajari bahasa Jerman. Kemudian masuklah saya ke dalam perguruan psikologi-metafizik, ilmu al-ruhani juga falsafah dan perbezaan-perbezaan agama besar di dunia ini. Apabila menyusun-nyusun tesis untuk kedoktoran failasuf (PhD) maka terpaksalah saya berfikir mendalam mengambil di mana titik berat, inti sari dan pati punca perbezaan dan perbalahan. Maka termasuklah membahaskan berkenaan dengan sufi itu termasuk dalam falsafah.”
Setelah pulang ke tanah air, berbekalkan pengalaman dan kelulusannya, beliau diterima mengajar di Madrasah al-Juneid, Singapura. Beliau turut menawarkan khidmat perubatan homeopati di dua cawangan kliniknya, di Johor Bharu dan di Jalan Picitan, Singapura yang dibina dengan bantuan seorang doktor India, Dr N. Rajah.
Pengaruh Tasawuf
Pak Doktor tertarik kepada tariqat Naqhshabandiyyah yang berkembang di India, yang mempunyai dasar dan hujah tasawwuf yang meyakinkan. Tariqat ini aktif mendakyahkan ajarannya di Asia Tenggara dengan pengaruh yang signifikan di kalangan pengikutnya yang terus berkembang dengan pantas. Ketika di India, beliau menghadiri halaqat-halaqat tasawuf ini dan mengutip pengalaman ma‘rifi, dhawqidan tajribi melalui pembacaan yang substantive.
Perkara ini dikupas dalam tulisannya: “Saya pelajari sufi daripada bahasa-bahasa Eropah. Terpaksalah balik saya mengenal al-Ghazali, al-Badawi, al-Rifa‘i, al-Rumi, al-Qushairi, Ibnu ‘Ata’illah dan lain-lain serta rujuk kitab-kitab Eropah itu kepada kitab Arab maka barulah saya mencari kitab-kitab Arabnya pula. Kemudian setelah saya siasati kedatangan Islam ke Nusantara kita ini dan datuk nenek kita memeluk agama Islam yang hanif ini terutamanya kesan-kesannya ialah daripada ulama-ulama’ Syafi’i dan ulama-ulama’ tasawwuf, sama ada ulama-ulama’ itu datang secara saudagar atau secara muballigh; bukan masuk melalui ulama-ulama’ fiqh. Islam masuk di Nusantara kita ini berkembang tidak dengan kekerasan atau paksa tetapi dengan kemahuan hati dan pilihan jua yang dapat mengatasi agama Hindu dan Buddha [se]bagaimana yang diperjuangkan oleh wali songo di Jawa dan lain-lain kepulauan maka beransur-ansur nampaklah saya kesenian ilmu tasawwuf.”
Faham tasawuf yang dipintalnya turut merangkul tasawuf moden dan agresif yang mendakap semangat jihad. Dan perjuangannya terus digilap dan dipasak dengan lebih jelas setelah menghadam disiplin agama dan sosial yang penting seperti falsafah, perbandingan agama, tasawwuf dan ilmu tariqat. Menurutnya pengajian tasawwuf harus dibarengi dengan pengetahuan falsafah dan perbandingan agama, sebagai asas keilmuan yang zahir, seperti dinyatakannya dalam buku Simposium Tariqat dan Tasawuf: “Bagi memudahkan mendekati ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya bagi mencari ilmu di zaman kebendaan dan ilmiah ini, eloklah lebih dahulu mempelajari ilmu fizik kemudian pelajari ilmu metafizik atau maa wara’a al-taba’ah, ilmu falsafah dan ilmu perbezaan antara agama-agama.”
Kerangka Pemikiran
Dr Mujahid Yusof Rawa, dalam penulisannya yang kritis seperti Rejuvenasi PAS dan Menuju PAS Baru mengungkapkan bahawa langkah perjuangan yang digariskan Dr Burhanuddin harus diangkat dan dilantarkan dalam menuju PAS baru. Beliau menuntut supaya hirarki PAS berganjak ke arah perubahan, stereotaip dicabar dan pembaharuan dan kesedaran politik tentang esensi kebebasan, kesedaran watan, faham keadilan dan nafas perjuangan dan semangat kemerdekaan ditanam dan dipugar.
Dalam pergerakan politik Pak Doktor memilih wadah Islam sebagai landas perjuangan. Beliau disifatkan sebagai sosok pemikir yang terbaik dilahirkan dalam dekadnya, dan penggagas siyasah syar‘iyyah dan fiqh awlawiyyat Islam, dan faqih besar dalam mazhab. Pendekatan politiknya adalah berteraskan amalan perlembagaan dan undang-undang, dengan memilih cara aman untuk menuntut perubahan. Demilian seperti yang diungkapkan dalam pidatonya dalam Persidangan Agung PAS di Kelab Sultan Sulaiman pada Disember 1956.
“Jalan kekerasan tidaklah lagi jalan yang sesuai untuk menyelesaikan segala soal hidup manusia. PAS menentang kekerasan kerana kekerasan adalah bertentangan dengan dasar dan ideologi PAS.Perjuangan kemerdekaan tanah air akan diteruskan oleh PAS dengan jalan aman dan damai, dengan jalan berperlembagaan.”
Strategi perjuangannya dalam politik tergambar daripada kegiatannya dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) menentang pendudukan British dan Jepun, seperti diungkapkannya: “Maka ahli-ahli kebangsaan Melayu kiri telah mengambil langkah Musa dalam istana Firaun. Ada yang tinggal di dalam, ada yang tinggal di luar mengambil bahagian di hutan di rimba jadi anti-fasis, ada yang menjalankan gerakan rayap – semut api – harimau dan sebagainya.”
Menurut Dr Dzulkefly Ahmad, perhitungan politiknya adalah bercorak situational politics (siyasah waqi‘) seperti yang dihuraikan oleh saudara Salahuddin Ayub ketika membahaskan sumbangan dan falsafah perjuangan dan pemikiran dakwah Pak Doktor: “Dalam konteks ini, saya ingin mengajak para pemuda semua untuk kita menghayati pemikiran dakwah yang digagaskan oleh al-Marhum Prof Dr Burhanuddin al-Helmy. Beliau amat menekankan keterbukaan dalam pendekatan dakwah yang sesuai dengan naluri masyarakat sebagaimana berhikmahnya Wali Songo yang menggunakan saluran seni hiburan untuk mengajak masyarakat kepada Islam. Pendakwah tidak menghukum, tetapi memujuk dan menasihati. Perbezaan bukan asas kepada perpecahan, tetapi menzahirkan keterbukaan. Jangan kerana kita sukakan susu, lalu mengatakan kopi tidak baik, tetapi minumlah susu dan hargailah peminum kopi.
Itulah keterbukaan yang ditunjukkan oleh Dr Burhanuddin. Beliau dikenali sebagai tokoh reformis, tetapi sangat disenangi oleh ulama’ kaum tua. Beliau terkenal sebagai ahli tasawuf, tetapi begitu rapat dengan ulama’ kaum muda. Beliau menyusun strategi dakwah dengan mendekati golongan sosialis-komunis, memulakan kerjasama dengan parti-parti bukan Melayu tanpa rasa chauvinis, mendukung perjuangan nasionalis, tetapi kekal sebagai tokoh yang Islamis. Pengikut dan pengkagumnya bukan sekadar orang-orang politik, tetapi juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Inilah model pendakwah yang mesti dicontohi oleh Pemuda PAS pada masa akan datang.” (Seminar Pemikiran Dr Burhanuddin al-Helmy, 2009)
Ahmad Boestamam menulis tentang kekuatan pengaruh Dr Burhanuddin dan kecekalan perjuangannya: “Di atas segala-galanya, Dr. Burhanuddin al-Helmy adalah seorang patriot. Dan kalau kepada beliau hendak diberikan suatu gelaran yang tepat, layak dan sesuai dan hak sekali bagi beliau ialah Bapak Kebangsaan Melayu” (Ramlah Adam 1993; Dr. Burhanuddin al-Helmy: kajian mengenai kegiatannya dalam PKMM 1946-1948.).
Sewaktu menuntut di India, Pak Doktor telah mula bergelut dengan arus pemikiran Islam moden yang dicanang oleh Sayyid Ahmad Khan, Jamaluddin al-Afghani, Syed Ameer Ali (1849-1928), Aga Khan, Nehru dan Muhammad Ali Jinnah (pemimpin Islam Pakistan).
Pandangannya yang progresif turut dibentuk daripada pengalamannya menuntut di Indonesia, yang meraikan semangat ikhtilaf, mengangkat kekuatan akal dan ijtihad, mengembangkan faham budaya dan politik yang dinamis dan menggerakkan reformasi dan cita-cita pembaharuan yang kental untuk merobohkan benteng taqlid yang mengikat kebebasan fikrah yang diwarisi daripada pemikiran masyarakat yang jahil dan bobrok.
Hal ini dinyatakan dalam makalahnya Tasawuf dan Tariqah: “Bila saya lepas belajar ke luar di Indonesia dapat saya belajar bahasa Belanda dan guru-guru agama saya pula ulama-ulama’ Kaum Muda dan berfaham progresif dalam Islam, maka fikiran saya terbentuk dengan membaca keterangan-keterangan moden dan majalah-majalah moden seperti al-Manar dan al-Fath. Saya pelajari ilmu-ilmu usul fiqh, usul al-ahkam, mazahib al-arba’ah (mazhab empat) dan membaca kitab-kitab Bidayah al-Mujtahid, Subul al-Salam, kitab-kitab [Syeikh al-Islam] Ibn Taimiyyah, Ibnu al-Qayyim, asy-Syaukani, [Syeikh] Abdul Wahhab al-Wahhabi (yakni [Syeikh] Muhammad Abdul Wahhab), al-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Redha dan akhirnya Tantawi. Saya pun terbalik bertentang dengan ayah saya dalam pendirian. Saya memusuhi jumud kolot.”
Untuk mengejar cita-cita ini, beliau menggerakkan perjuangan menuntut perubahan dan reformasi dengan berkecimpung dalam politik marhaen dan gerakan rakyat. Selama lebih 30 tahun mengharungi perjuangan (1930-1960-an) beliau telah memimpin pertubuhan-pertubuhan penting seperti KMM (Kesatuan Melayu Muda), KRIS (Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung), PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya), PUTERA-AMCJA (Pusat Tenaga Rakyat-All Malayan Council of Joint Action), dan Persatuan Islam Sa-Tanah Melayu atau Parti Islam se-Malaysia (PAS).
Pada tahun 1937, Pak Doktor menerbitkan majalah Taman Bahagia, sebagai platform perjuangannya untuk memecahkan monopoli British di Tanah Melayu, seperti diungkapkannya: “apa lagi sebagai seorang wartawan muda pada tahun 1937 saya keluarkan majalah Taman Bahagia lalu tertangkap kerana saya didapati oleh penjajah berpolitik tegas dan berbahaya kepada penjajah dan akan membangkitkan kesedaran rakyat, hinggalah sekarang ‘Malaya jadi Palestin kedua’ masih kedengaran diperkatakan orang.”
Kamaruddin Jaafar dalam artikelnya Perjuangan dan Pemikiran Politik Dr Burhanuddin al-Helmy merumuskan bahawa dalam tiga dekad perjuangannya, riwayat politik Dr Burhanuddin dapat dirangkum dalam tiga ciri utama: kemerdekaan, kebangsaan Melayu dan Islam. Nilai-nilai ini ditanam dalam perjuangannya menentang penjajah dengan semangat dan daya tahan yang kental, dengan usaha menyemarakkan nilai progresif dan ide radikal dalam ideologi dan aqidah perjuangan PAS, seperti diungkapkan oleh Ahmad Boestmam dalam bukunya Merintis Jalan ke Puncak: “Kalau PAS berjiwa kiri dan progresif juga untungnya kepada Partai Rakyat Malaya, demikian saya memperhitungkan. Setidak-tidaknya Partai Rakyat Malaya tidak akan menghadapi ‘lawan’ yang bertambah sebagaimana kalau kiranya PAS berjiwa kanan dan tidak progresif.”
Pak Doktor menggariskan strategi perjuangan dan matlamat politik yang ideal dan halatuju yang jelas dalam harakat PAS, dengan merangka agenda yang praktis dan inklusif, yang menggabungkan tradisi pemikiran daripada semua aliran untuk mempertahankan kemerdekaan, seperti yang dilafazkannya dalam Muktamar tahunan pada 1956: “Tiap-tiap kita mengingini satu negara Malaya yang demokratis dan berdaulat dalam erti kata yang sebenarnya. Cita-cita ini belum tercapai sekarang dan tak akan tercapai pada 31 Ogos 1957 ini. Ke arah cita-cita itulah PAS akan berjuang bahu membahu dan saling berbimbingan tangan dengan segala golongan dalam masyarakat.”
Dalam mengeratkan perpaduan ini beliau mengungkapkan kesediaan PAS bertahaluf siyasi (mengikat kerjasama politik): “Dan PAS juga tidak merasa dan tidak mensifatkan dirinya sajalah yang mempunyai kesanggupan, yang mempunyai kelayakan, yang mempunyai tenaga dan kebijaksanaan untuk berjuang mencapai kemerdekaan dan kedaulatan bangsa dan tanah airnya. PAS tidak merasa dan tidak mensifatkan dirinya sajalah yang berkewajipan memikul tugas suci kemerdekaan bangsa dan tanah airnya kerana itu adalah tugas rakyat bersama. Saya katakan bahawa penjajahan adalah bercorak internasional, satu gergasi yang pengaruh dan kekuatannya dirasakan di seluruh dunia. Kerana itu, penjajahan tidak boleh ditentang hanya dengan tenaga satu golongan saja, satu parti saja, tetapi sebaliknya hanya dengan tenaga-tenaga anti-imperialis seluruh dunia, tenaga-tenaga anti-imperialisme seluruh masyarakat. Kerana itu PAS sanggup bekerjasama dengan apa sahaja golongan, apa saja parti, apa saja aliran dalam masyarakat atas dasar kepentingan kemerdekaan bangsa dan tanahair… perjuangan itu sama besarnya dengan perjuangan yang telah kita pusakai dari datuk-nenek kita menentang penjajahan semenjak kejatuhan empayar Melaka dahulu. Dan sudah tentu perjuangan yang sebesar itu mengkehendaki tenaga yang sebulat-bulatnya dari seluruh rakyat negeri ini, menghendaki pengorbanan yang rela dari segenap golongan progresif dalam masyarakat. Tenaga-tenaga nasionalisme, keugamaan dan sosialisme yang sihat dalam masyarakat harus kita gembelengkan, kita padukan mulai sekarang untuk merupakan satu tenaga besar demi tugas perjuangan kemerdekaan dan kedaulatan tanahair kita.”
Kamarudin Jaffar dalam bukunya, Dr Burhanuddin al-Helmi: Politik Melayu dan Islam menzahirkan kekuatan idealisme perjuangan yang dicanangnya dan iktibar serta kesannya dalam pemberdayaan bangsa: “Adalah diakui umum bahawa Dr Burhanuddin al-Helmy merupakan seorang tokoh terkemuka di alam Melayu ini. Sumbangan beliau di bidang politik, perjuangan kemerdekaan dan ilmu perubatan serta peranan Islam yang diletakkan oleh beliau di bidang-bidang tersebut perlu sekali dipelajari oleh masyarakat kita hari ini”.
Lontarannya yang memukau:
“Di atas robohan kota Melaka,
kita dirikan jiwa merdeka,
bersatu-padulah segenap baka,
membela hak keadilan pusaka”
yang diucapkan semasa kongres PKMM ke-2, tanggal Disember 1946 di Melaka cukup menzahirkan aspirasi dan cita-cita besarnya untuk mengangkat harakat bangsa dan agama, dan terserlah dalam perjuangannya mendirikan partai Islam dan memimpin harakah perjuangan yang terbesar di Malaysia.
Rujukan
Abdullah Hussain (1996), “Burhanuddin al-Helmi, Pelopor Kebangkitan Semangat Kebangsaan Melayu”. Dewan Masyarakat, Nov. 1996.
Ahmad Boestamam (1972), Merintis Jalan ke Puncak. Kuala Lumpur: Pustaka Kejora.
Burhanuddin al-Helmy (t.t.), Hari-Hari Aku Dizalimi. Gombak: PAS.
Burhanuddin al-Helmy (1957), Suara Islam, 16 Januari, 1957.
Burhanuddin al-Helmy (1988), ‘Ucapan Dasar Parti PAS, 1956’ dalam Jomo K.S. (ed.), Islam dan Sosialisme. Kuala Lumpur: Ikraq Press.
Farish A. Noor (2004), Islam Embedded: The Historical Development of the Pan-Malaysian Islamic Party PAS (1951-2003). 2 jil. Kuala Lumpur: Malaysian Sociological Research Institute.
Ismail Said (2008), “Parti Islam Sa-Malaysia: Kepimpinan dan Perjuangan dari Tahun 1951 hingga 1970” (Tesis Phd, Universiti Sains Malaysia).
Kamarudin Jaffar (1980), Dr Burhanuddin Al-Helmi: Politik Melayu dan Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Anda.
Kamarudin Jaffar (1979), “Perjuangan Dan Pemikiran Politik Dr. Burhanuddin Al-Helmy”. Akademika 15.Kamaruddin Jaffar (2000), Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Pemikiran Dan Perjuangan. Kuala Lumpur: IKDAS.
Mohd Fuzi Omar (2005), “Burhanuddin Al-Helmy: Political Activities and Ideas”, dalam Zeenath Kausar (ed.),Contemporary Islamic Politcal Thought, A Study of Eleven Islamic Thinkers. Kuala Lumpur: Reseach Centre, IIUM.
Mujahid Yusof Rawa (2003), Permata Dari Pulau Mutiara. Kuala Lumpur: Warathah Haji Yusof Rawa Sdn. Bhd. dan Dewan Muslimat.
Natsir (1980), Fiqhud-Da‘wah. Kuwait: IIFSO.
Ramlah Adam (1996), Burhanuddin al-Helmy: Sebuah Kemelut Politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Ramlah Adam (1993), Dr. Burhanuddin al-Helmy: kajian mengenai kegiatannya dalam PKMM 1946-1948. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Riduan Mohamad Nor (2008), Makkal Sakhti 2008: Analisis Pilihanraya Umum ke-12. Kuala Lumpur: Jundi Resources.
PAS (2003), Negara Islam. Kuala Lumpur: Parti Islam Se-Malaysia.
Saliha Hj. Hassan (1972), “Dr Burhanuddin Al-Helmi, A Political Biography” (Latihan Ilmiah, B.A, Universiti Malaya).
Salina Hj Hassan (1986), “Dr Burhanuddin Al Helmy, 1911 – 1969”. JEBAT, bil 14.
Seminar Pemikiran Dr. Burhanuddin al-Hilmi (2009), (anjuran Pusat Kecemerlangan Ummah, di Dewan Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, 2 Ogos, 2009)
Zainal Abidin bin Abdul Wahid (1978), “Semangat Perjuangan Melayu”. Seminar Sejarah Intelektual dan Perjuangan Kebangsaan Melayu, Universiti Malaya, 18 November, 1978.
Dr Ahmad Nabil Amir adalah Ketua, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front. Beliau adalah Sarjana PhD dalam bidang Usuluddin daripada Universiti Malaya.