Jawapan kepada Khalif Muammar – Hujah mesti dibalas hujah
December 31, 2023

30 Disember 2023

Kami merujuk pada kenyataan Dr Khalif Muammar yang bertarikh 29 Disember 2023 yang merakamkan kegusaran tentang buku tulisan Prof. Ahmet T. Kuru yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh pihak IRF dengan tajuk: Islam, Autoritarianisme, dan Kemunduran Bangsa – Suatu perbandingan Global dan Pensejarahan. Apa yang jelas tulisan tersebut merupakan suatu tuduhan liar yang hanya berasaskan kepada perasaan serong terhadap mana-mana pandangan yang tidak sealiran yang menggambarkan kepincangan dalam mendakapi adab perbezaan pendapat dan dengan senang menghamburkan tuduhan liberal untuk menakutkan masyarakat daripada berfikir secara terbuka.

Kami akan menjawab tuduhan tersebut secara point-to-point. Pertamanya, tiada sebarang jaringan liberal di Malaysia. Tuduhan ini adalah untuk menyemai rasa gusar dan curiga dikalangan masyarakat Islam di negara ini. Yang ada adalah Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia yang tiada kaitannya sama sekali dengan mana-mana organisasi di negara ini. JIL di Indonesia adalah nama sebuah organisasi dan bukannya suatu networkataupun jaringan beberapa buah organisasi. Mencampakkan keresahan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini adalah suatu tindakan yang sangat jahat dan tidak bertanggungjawab. Apatah pula apabila ia dilakukan oleh seorang yang bergelar ahli akademik.

Keduanya, penulis juga telah secara jahat meletakkan kesemua mereka yang tidak sealiran dangan beliau di dalam satu bekas iaitu “liberal”. Kami tidak ingin membahaskan apakah kalimat “liberal” itu kalimat yang tepat untuk menggambarkan kesemua tokoh-tokoh yang beliau sebutkan dan kami juga tidak ingin memperpanjangkan apakah makna “liberal” yang diperdebatkan. Tetapi meletakkan kesemua tokoh tersebut yang mempunyai pemikiran yang rencam di dalam satu bekas yang sama adalah tuduhan yang sangat tidak adil kalaupun tidak melampau. Sepertimana perkataan “Salafi” yang mempunyai spektrum yang luas, begitulah pemikiran yang dikatakan “liberal” itu juga. Bagaimana mungkin pemkiran tokoh Salafi seperti Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Prof. Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA) disamakan dengan pemikiran Madkhali semata-mata kerana kedua-duanya dikatakan Salafi, seperti itu jugalah pemikiran Abdullahi An-Naim umpamanya tidak patut disamakan dengan pemikiran Irsyad Manji. Sepertimana jahatnya orang yang menuduh Dr. MAZA itu sama seperti Madkhali, seperti itu jugalah jahatnya orang yang menuduh Ahmet Kuru seperti Amina Wadud atau Irsyad Manji.

Ketiganya, sekiranya ada sebarang kritikan kepada Ahmet T. Kuru, maka kritikan itu haruslah kritikan secara ilmiah yang beserta dengan alasan yang sahih. Bukan hanya dengan tuduhan yang Ahmet T. Kuru berusaha untuk memburukkan para ulama ahlus-sunnah. Mereka yang membaca bukunya yang penuh dengan data-data dan ratusan rujukan itu pasti akan tahu bahawa hal yang sedemikian bukan tujuannya. Sekiranya sebarang kritikan terhadap para ulama terdahulu bererti liberal dan musuh ahli sunnah wal-jama’ah, maka apakah Muhammad al-Ghazali, Yusuf al-Qaradawy, dan Muhammad Imarah itu juga patut dianggap liberal kerana mereka juga banyak mengkritik ulama sebelum mereka?

Sesungguhnya sesiapa yang tidak bersetuju dengan pandangan Ahmet T. Kuru dalam bukunya, haruslah membalas setiap poin yang dimajukan beliau dengan poin yang sebaliknya. Jangan hanya mengagungkan para ulama yang dianggap kudus sedangkan Imam Malik, guru Imam Asy-Syafi’ie telah berpesan: “Setiap orang itu boleh diambil perkataanya dan ditolak melainkan perkataan yang empunya kubur ini (sambil menunjuk jari ke arah makam Nabi SAW).” Ataupun dalam riwayat lain yang menyebutkan: “Setiap orang boleh diambil atau ditolak perkataannya kecuali kata-kata Rasulullah SAW” itu telah dimasyhurkan oleh Imam Malik, tetapi al-Bukhari dan lain-lain meriwayatkan hal ini daripada Ibn ‘Abbas dan Mujahid (tokoh Mufassir Tabi’in) dalam kitab al-Qira’ah khalfa al-Imam halaman 213.

Segala tuduhan bahawa Ahmet T. Kuru beranggapan bahawa ulama ahli sunnah adalah mereka yang anti-akal, anti kebebasan, dan penyebab kepada kemunduran umat Islam adalah tuduhan yang tidak berasas. Apa yang cuba diutarakan oleh beliau adalah tentang aspek “PERSELINGKUHAN” antara ulama dan kerajaanlah yang membawa kepada autoritarianisme dan kemunduran umat Islam; BUKANNYA ulama Islam secara tersendiri. Tulisan yang berniat jahat yang cuba untuk menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini amatlah dikesali apatah pula buku ini belum lagi diakses dan dibaca oleh kebanyakan masyarakat Melayu Islam di negara ini.

Demikian ini adalah abstrak yang secara jelas tertulis pada mukasurat awal buku ini yang diterjemahkan oleh IRF:

“Mengapa negara majoriti Islam memperagakan tahap autoritarianisme yang tinggi dan kualiti pembangunan sosioekonomi yang rendah jika dibandingkan dengan purata negara-negara lain? Ahmet T. Kuru mengkritik penjelasan yang merujuk kepada Islam sebagai punca kepada perbezaan ini, kerana umat Islam secara falsafah dan sosioekonominya adalah lebih maju daripada Eropah Barat sekitar abad kesembilan dan kedua belas. Penjajahan Barat juga bukanlah puncanya kerana orang Islam telah pun mengalami masalah politik dan sosioekonomi sewaktu penjajahan bermula. Kuru berpandangan bahawa orang Islam mempunyai pemikir dan pedagang yang berpengaruh dalam sejarah awal mereka sewaktu ortodoksi keagamaan dan pemerintahan tentera sedang berleluasa di Eropah. Namun begitu, pada abad kesebelas, perselingkuhan antara ulama ortodoks dan kerajaan tentera mula muncul. Perselingkuhan ini secara beransur-ansur telah menghalang kreativiti intelektual dan ekonomi dengan meminggirkan kelas intelektual dan borjuis di dunia Muslim. Kajian penting ini menghubungkan penjelasan sejarahnya terhadap politik kontemporari dengan memaparkan bahawa – sehingga ke hari ini – perselingkuhan ulama-negara masih menghalang kreativiti dan persaingan di negara-negara Muslim.”

Penjelasan tentang hal berikutnya telahpun dijelaskan oleh pihak IAIS dan kita mesti bersikap berlapang dada dalam menangani isu perbezaan pendapat dalam apa yang dikatakan sebagai “intellectual discourse” ini. Kerana itu kami mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai pandangan yang berbeza untuk mengemukakan hujah mereka secara intelektual dan bukannya dengan emosi yang bukan berasaskan ilmu pengetahuan dan pemahaman yang jujur ikhlas.

 

Ustaz Ali Muda
Haji Fadlullah Wilmot
Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa

Ahli Lembaga Pengarah,
Islamic Renaissance Front

 

 

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022