Kata Pengantar Edisi Terjemahan Bahasa Melayu “Islam, Autoritarianisme, dan Kemunduran: Suatu Perbandingan Global dan Pensejarahan.”
March 29, 2023

Ahmet T. Kuru || 29 Mac 2023

Para pembaca di Malaysia menunjukkan minat yang tinggi terhadap buku asal berbahasa Inggeris ini semenjak tiga tahun yang lalu. Perkara tersebut telah saya cerap di media sosial dan dalam dua webinar utama yang dianjurkan di Malaysia mengenai buku ini. Sebuah laporan pendek saya dengan penghujahan yang sama juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan tajuk “Perikatan Ulama-Negara: Punca Autoritarianisme Dan Kemunduran Dunia Muslim” (Lestari Hikmah, 2022). Mengapa pembaca Melayu menanggapi buku saya dan penghujahan-penghujahannya secara serius? Saya ada dua jawapan ringkas bagi perihal itu.

Pertama, buku saya menganalisis tentang bagaimana perselingkuhan ulama-negara menghalang demokrasi dan pembangunan negara hari ini, di mana ia merupakan masalah utama di kebanyakan negara kontemporari yang majoritinya bermasyarakat Muslim, termasuklah Malaysia. Kedua, bagi para pembaca yang berminat dengan sejarah, buku ini menjelaskan bagaimana umat Islam mengalami zaman keemasan dalam bidang sains dan ekonomi di antara kurun ke-8 dan ke-11. Sepanjang tempoh ini, dunia umat Islam memiliki pelbagai kelas intelektual dan borjuis yang lebih unggul ketimbang di Eropah Barat. Bagi pembaca di Malaysia dan di tempat-tempat lain, analisis-analisis yang terdapat dalam buku ini mengenai krisis-krisis moden masyarakat Muslim dan zaman keemasan sejarahnya membentuk sebuah perbandingan yang menarik. Saya berharap dengan adanya terjemahan ini, maka buku ini akan menemukan dengan lebih ramai pembaca di Malaysia.

Di dunia Muslim, Malaysia merupakan salah satu negara yang memiliki potensi pembangunan dan demokrasi yang terbesar. Dengan letaknya di Asia Tenggara yang ekonominya sedang berkembang, Malaysia dan Indonesia boleh menjadi model kepada dunia Muslim lainnya bagi mencapai pembangunan sosioekonomi. Buku ini telah diterjemahkan kepada beberapa buah bahasa, termasuklah bahasa Arab, Parsi, Bosnia, Bengali, Kyrgyz, Perancis, dan Belanda. Namun begitu, terjemahannya dalam bahasa Indonesia telah memberikan dampak terbesar dengan pelbagai ulasan berserta lima buah edisi cetakannya. Saya berharap agar terjemahan bahasa Melayu ini akan turut mendorong kepada perbincangan produktif yang sama dalam dunia akademia dan media.

Saya berterima kasih kepada Hasyir Mursyidi Husam yang telah menterjemahkan buku tersebut dan Dr. Ahmad Farouk Musa serta Islamic Renaissance Front di atas penerbitan buku terjemahan dalam bahasa Melayu ini.


Ahmet T. Kuru (Phd, University of Washington) merupakan pengarah di Center for Islamic and Arabic Studies dan mantan Profesor Porteous Bruce E. bagi Sains Politik di San Diego State University. Beliau merupakan sarjana pascadoktoral di Universiti Columbia. Kuru merupakan penulis bagi buku Secularism and State Policies toward Religion: The United States, France dan Turkey (Cambridge University Press, 2009) yang menerima Anugerah Buku Society for the Scientific Study of Religion (SSSR). Beliau juga merupakan penulis bersama (dengan Alfred Stepan) bagi buku Democracy, Islam, and Secularism in Turkey (Columbia University Press, 2012). Artikel-artikel Kuru disiarkan di pelbagai jurnal termasuklah World PoliticsComparative Politics, dan Political Science Quarterly. Buku terkininya, Islam, Authoritarianism, and Underdevelopment: A Global and Historical Comparison (Cambridge University Press, 2019) turut memenangi Anugerah Bahagian Sejarah dan Politik Antarabangsa daripada American Political Science Association, menerima penghargaan khas daripada Anugerah SSSR, dan telah disenaraikan sebagai Buku Terbaik Tahunan dalam Times Literary Supplement. Karya-karya Kuru telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, Bosnia, China, Perancis, Indonesia, Melayu, Parsi dan Turki.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699