Ahmet T. Kuru
Terjemahan oleh: Imad Jihadi Ahmad Farouk || 20 September 2025
Suntingan oleh: Ahmad Muziru Idham Adnan
Pada bulan Disember 2024, rejim Assad di Syria jatuh berikutan kumpulan pemberontak yang telah mengambil alih bandar-bandar, yang kemuncaknya membawa kepada penawanan ibukota, Damsyik. Persoalan utama sekarang ini buat masa hadapan Syria adalah bagaimana untuk menguruskan kepelbagaian agama dan etniknya. Pemerintahan sektarian dan autoritarian rejim Assad selama setengah abad merupakan pemacu utama kepada perang saudara berdarah. Ketika Syria berdepan dengan cabaran untuk membentuk sebuah struktur pemerintahan yang lebih inklusif dan stabil, banyak negara demokrasi yang sudah lama mapan – seperti Amerika Syarikat – turut sama berdepan dengan polarisasi mendalam tentang cara menguruskan kepelbagaian masyarakat.
Tariq Modood dan buku terbaru Thomas Sealy, The New Governance of Religious Diversity (2024), menawarkan sumbangan yang menarik dan tepat pada masanya kepada perdebatan global ini. Dengan menggabungkan ketelitian empirikal dengan analisis normatif, buku ini meneliti negara-negara utama melalui tipologi nasionalisme dan sekularisme politik, lalu mengkategorikannya kepada lima bentuk yang berbeza:
(1) Nasionalisme majoriti (Majoritarian nationalism) dicirikan oleh pengenalan negara yang kuat dengan satu agama. Penulis menunjukkan Turki di bawah pemerintahan Tayyip Erdogan sebagai contoh teladan bagi bentuk ini.
(2) Statistime sekularis (Sekularis statism) ialah negara mengecualikan agama daripada kehidupan politik dan sivik dengan membatasinya kepada ruang peribadi, yang paling jelas dicontohkan oleh Perancis.
(3) Neutralisme liberal (Liberal neutralism) ialah keadaan di mana negara bertolak ansur dan memberikan kedudukan sivik yang sama kepada semua agama, dengan Amerika Syarikat menjadi contoh bagi bentuk ini.
(4) Sekularisme sederhana (Moderate secularism) juga bertolak ansur dengan agama tetapi mungkin mempunyai ‘penetapan lemah’ terhadap sesuatu agama, seperti yang dilihat di United Kingdom.
(5) Nasionalisme pluralistik (Pluralistic nationalism) ialah cara negara menghormati dan bekerjasama dengan semua agama sambil mengekalkan jarak yang berprinsip daripadanya. Penulis meneliti India, Indonesia, dan Malaysia sebagai contoh bagi bentuk ini.
Negara-negara tersebut dengan tepat memerhatikan bahawa setiap satunya semakin bergerak menjauhi nasionalisme pluralistik. India telah mengalami kebangkitan nasionalisme Hindu sebagai ideologi yang dominan, Indonesia telah mengalami ‘peralihan kepada konservatif,’ dan Malaysia semakin menitikberatkan syariah dalam sistem perundangan persekutuan dan serantau.
Berdasarkan analisis empirikal ini, Modood dan Sealy mencadangkan dasar normatif yang mereka panggil sebagai ‘pembudayaan’ (multiculturalizing). Mereka menganjurkan untuk ‘mengukuhkan’ sekularisme sederhana dengan memupuk penglibatan negara yang lebih kuat terhadap agama-agama imigran bukan Kristian dan “melemahkan” nasionalisme pluralistik dengan menekankan dimensi kebebasan beragama berasaskan individu.
Dalam penglibatan kritikal ini, saya akan bermula dengan menerangkan persamaan dan perbezaan antara tipologi sekularisme saya dengan Modood dan Sealy. Seterusnya, saya akan meneliti hubungan negara-agamawan dalam pelbagai kes Muslim dan Protestan, dengan memberi penekanan terhadap kepentingan prinsip pemisahan. Saya akan membuat kesimpulan dengan memberi cadangan ringkas untuk kes Syria.
Sekularisme pasif dan sekularisme jalur keras
Saya mengembangkan konsep sekularisme pasif (passive secularism) dan sekularisme jalur keras (assertive secularism) dalam buku pertama saya, Secularism and State Policies toward Religion (2009). Buku tersebut merangkumi tiga kes pertama yang disebutkan di atas – Turki, Perancis, dan Amerika Syarikat. Apabila ia diterbitkan pada tahun 2009, ketiga-tiga negara sekular ini menjalankan dasar yang sangat berbeza terhadap agama. Pelajar bebas menzahirkan simbol-simbol agama di Amerika Syarikat, dilarang di sekolah-sekolah awam Perancis, dan diharamkan di semua institusi pendidikan di Turkiye. Buku saya mentakrifkan dasar negara terhadap agama sebagai hasil perjuangan ideologi antara pembela dua jenis sekularisme.
Di Amerika Syarikat, ideologi yang dominan adalah ‘sekularisme pasif,’ yang membolehkan agama muncul di tempat awam. Sebaliknya, ideologi yang dominan di Perancis adalah ‘sekularisme jalur keras’ yang bertujuan membataskan agama kepada ranah peribadi dan mengecualikannya daripada ruang awam. Sekularisme jalur keras juga mendominasi Turki pada suatu ketika. Walau bagaimanapun, selepas beberapa dekad, sekularisme jalur keras telah digantikan oleh rejim Islam populis Erdogan.
Terdapat dua perbezaan utama antara tipologi Modood dan Sealy dengan saya. Pertama, tipologi saya adalah suatu kesinambungan, yang bermula dengan negara anti-agama (contohnya, sejarah Kesatuan Soviet dan kontemporari China), seterusnya berterusan dengan kes-kes sekularis jalur keras, kemudian kes sekularis pasif, dan berakhir dengan negara agama (contohnya Iran dan Vatican). Namun begitu, bentuk yang dikemukakan oleh Modood dan Sealy adalah jenis yang mandiri, kerana mereka menilai kriteria yang lebih kompleks yang melibatkan kedua-dua sekularisme dan nasionalisme ketika mengkategorikan sesuatu kes.
Oleh sebab itu, Modood dan Sealy menekankan bahawa terdapat pelbagai versi sekularisme yang dikontekstualisasikan dalam pelbagai cara di negara yang berbeza. Mereka mengutamakan keupayaan model yang pelbagai ini untuk menampung kepelbagaian agama dan etnik. Sebaliknya, analisis saya membandingkan sekularisme di negara yang berbeza melalui kriteria yang boleh digeneralisasikan, seperti peringkat-peringkat pemisahan agama-negara. Selain itu, saya mengutamakan kebebasan beragama individu, dan bukannya pengiktirafan komuniti etno-agama.
Kedua, analisis saya menunjukkan sekularisme pasif – yang dicontohkan oleh Amerika Syarikat – sebagai bentuk ideal pemisahan antara agama dan negara. Namun begitu, Modood dan Sealy menunjukkan sekularisme sederhana (yang diperbudayakan) – yang dicontohkan oleh Britain – dan nasionalisme pluralistik (yang diperbudayakan) sebagai bentuk ideal akomodasi kepelbagaian oleh negara.
Kedua-dua perbezaan ini berpunca daripada definisi saya tentang sekularisme, yang menekankan kepentingan prinsip pemisahan agama-negara. Saya takrifkan sekularisme sebagai sistem politik dengan dua kriteria utama: (1) Negara sekular mempunyai parlimen dan mahkamah yang bebas daripada kawalan institusi agama, dan (2) Perlembagaan negara tersebut mengisytiharkan sikap berkecuali terhadap agama dengan tidak menetapkan sebarang agama rasmi.
Dalam hal ini, Britain – di mana Gereja Anglikan merupakan gereja rasmi di England dan Wales, dan Gereja Scotland merupakan gereja rasmi di Scotland – bukanlah sebuah negara sekular mengikut perundangan (de jure) walaupun hakikatnya negara tersebut menjalankan dasar sekular (de facto). Sama seperti sistem monarki simboliknya, gereja-gereja rasmi Britain juga bersifat simbolik. Namun begitu, penetapan simbolik ini bermaksud bahawa Britain bukanlah sebuah negara sekular menurut definisi saya.
Britain membangunkan penyelesaian praktikalnya sendiri untuk masalah monarki dan penubuhan agama melalui falsafah kebijaksanaannya, contoh awal yang berkekalan, dan penyesuaian yang berterusan. Walau bagaimanapun, penyesuaian pragmatiknya adalah unik justeru tidak mungkin dapat dijadikan model untuk negara-negara yang memerlukan demokrasi republik dan sekularisme berperlembagaan. Bahagian seterusnya akan menerangkan mengapa saya menekankan pemisahan sebagai prinsip yang perlu dalam hubungan agama-negara.
Perselingkuhan agamawan-negara
Sepanjang sejarah, pihak berkuasa politik dan tentera telah berusaha untuk memonopoli sumber kuasa, termasuklah legitimasi agama, pengetahuan ilmiah dan sumber ekonomi. Untuk mengatasi kecenderungan ini, adalah penting untuk memisahkan negara, autoriti agama, intelektual, dan usahawan ekonomi dalam menjamin autonomi mereka antara satu sama lain. Ideal pemisahan tidaklah menafikan pertindihan yang diperlukan antara politik, agama, akademik dan ekonomi. Sebaliknya, ia menekankan bahawa tiada suatu bidang pun yang harus menguasai bidang yang lain.
Sebagai contoh terkini, pengaruh kelompok borjuis – tokoh seperti Elon Musk – terhadap politik Amerika melanggar prinsip ini. Contoh lain adalah perselingkuhan antara pemerintah negara dan golongan agamawan yang telah membawa kepada rejim autoritarian dan penganiayaan terhadap pembangkang politik dan agama di banyak tempat di dunia. Pelbagai bentuk pelanggaran prinsip pemisahan telah menyebabkan berlakunya rasuah dan ketidakadilan di segala konteks yang berbeza.
Terdapat tanggapan umum bahawa Islam secara asasnya menolak pemisahan agama-negara, manakala agama Kristian pula mendukungnya. Klise yang mengelirukan ini telah dipromosikan oleh kedua-dua golongan Islamis dan pengkritik Islam. Buku terbaru saya, Islam, Autoritarianism, and Underdevelopment: A Global and Historical Comparison (2019), menjelaskan bahawa hubungan antara agamawan dan negara dalam kedua-dua tradisi Islam dan Kristian telah dibina mengikut sejarah.
Buku saya menunjukkan secara terperinci bahawa, dari abad kelapan sehingga pertengahan abad kesebelas, wujudnya darjah pemisahan tertentu antara autoriti agama dan negara di dunia Muslim. Apa yang saya panggil sebagai perselingkuhan agawaman-negara muncul selepas pertengahan abad kesebelas. Semenjak dari itu, pelbagai bentuk pakatan ini telah menguasai sebahagian besar dunia Muslim.
Di pihak Kristian, sarjana seperti Harold J. Berman (1983) mendokumentasikan bagaimana Reformasi Gregorian pada pertengahan abad kesebelas memulakan pemisahan antara gereja dan negara yang menandakan revolusi transformatif untuk Eropah Barat. Berman (2003) mengenal pasti Reformasi abad ke-enam belas sebagai langkah kedua yang penting dalam menginstitusikan pemisahan gereja- negara, di mana ianya penting untuk memahami transformasi Eropah barat yang lain – yang sering dipanggil sebagai ‘kebangkitan Barat.’
Kritikan utama terhadap analisis sejarah dalam buku saya adalah kewujudan bersama perselingkuhan agamawan-negara dan pembangunan sosio-ekonomi di negara-negara Protestan dari abad ketujuh belas sehingga kini. Pengkritik juga merujuk kepada Britain sebagai contoh terkini bagi demokrasi dan pembangunan tanpa pemisahan gereja-negara. Saya mempunyai tiga jawapan utama.
Pertama, ketika gereja-gereja rasmi telah wujud di beberapa buah negara Protestan – termasuklah Britain, Denmark, Norway dan Finland – kes ini juga menampilkan kelas borjuis dan intelektual yang teguh yang mengimbangi kuasa perselingkuhan agamawan-negara. Maka, perselingkuhan agamawan-negara dalam kes Protestan tidak dapat mengenakan undang-undang penghujatan atau murtad secara berkesan terhadap penentangnya.
Sebagai contoh, seorang intelektual yang berpengaruh, Soren Kierkegaard (1813-1855) dapat mengkritik gereja rasmi di Denmark secara terbuka. Di negara-negara yang kekurangan kelas borjuis atau intelektual yang kuat, model ini tidak boleh dilaksanakan. Di kebanyakan negara Muslim, misalnya, perselingkuhan agawaman-negara adalah sangat kuat yang membolehkan mereka untuk menguatkuasakan undang-undang penghujatan dan murtad untuk menyekat perbezaan pendapat.
Kedua, negara-negara Protestan telah mengalami tahap sekularisasi masyarakat yang ketara, terutamanya sejak Perang Dunia Kedua. Maka, mereka mampu menjadikan gereja rasmi itu ‘lemah’ – seperti yang diutarakan oleh Modood dan Sealy. Dalam sesetengah masyarakat Eropah yang sebahagian besarnya telah disekularisasikan, di mana agama kehilangan pengaruh awamnya, maka institusi agama adalah sama simboliknya seperti institusi monarki. Sekali lagi, hal ini bukanlah model untuk negara lain, di mana tahap keberagamaan individu dan pengaruh awam agama adalah lebih tinggi.
Akhir sekali, gereja-gereja rasmi menimbulkan kerumitan walaupun di negara Protestan. Di Sweden, sebagai contoh, gereja negara menjadi punca kontroversi selama beberapa dekad, kerana ia semakin bercanggah dengan kepelbagaian sosial yang semakin meningkat dan norma yang berkembang seputar kebebasan beragama. Selepas perdebatan yang berpanjangan, Gereja Sweden telah dibubarkan secara rasmi pada tahun 2000. Bahkan, pertubuhan separa tanpa denominasi juga boleh dikaitkan dengan diskriminasi terhadap golongan minoriti.
Itulah sebabnya kelompok Katolik dan Yahudi, bersama-sama dengan Protestan liberal, telah mendesak ke arah sekularisasi yang lebih jauh terhadap institusi-institusi awam Amerika pada separuh pertama abad ke-20. Pada hari ini, perselingkuhan Protestan Evangelikal dengan Donald Trump – secara khususnya – dan Parti Republikan – secara umumnya – telah menimbulkan cabaran terhadap demokrasi dan hak minoriti di Amerika Syarikat, sekali gus menekankan kerumitan berterusan dalam keterikatan antara gereja-negara.
Kesimpulan
Menguruskan kepelbagaian agama dan etnik telah menjadi suatu cabaran global yang mendesak. Di pelbagai negara yang mengalami penghijrahan ketara – seperti Amerika Syarikat, Perancis, dan Turkiye – pemimpin-pemimpin populis telah menggabungkan retorik agama dan nasionalis untuk memajukan agenda sayap kanan. Walau bagaimanapun, tren ini tidak terhad kepada kerumitan akibat imigrasi. Negara-negara seperti India dan Malaysia, dengan agama dan etnik minoriti yang telah lama wujud, turut menyaksikan peningkatan ideologi sayap kanan yang mengancam hak-hak minoriti. Menangani krisis global hak minoriti merupakan salah satu tugas paling kritikal pada abad ke-21.
Untuk menguruskan kepelbagaian agama, maka adalah penting untuk menegakkan prinsip pemisahan antara pelbagai bidang kehidupan seperti politik, agama, akademik, dan ekonomi. Ia adalah penting untuk mengekalkan autonomi antara pelbagai kelas sosial, termasuklah pemerintah negara, agamawan, intelektual, dan usahawan ekonomi. Pemahaman normatif saya tentang sekularisme adalah bertumpu kepada prinsip pemisahan autoriti politik dan agama. Meskipun institusi rasmi yang lemah berfungsi dengan baik di sesetengah negara demokrasi Eropah, namun sistem mereka tidak dapat dipindahkan ke rantau lain yang mempunyai tahap keberagaman lebih tinggi dan/atau tidak mempunyai kelas borjuis serta intelektual yang kuat.
Kerangka teori yang dicadangkan di sini menawarkan lensa untuk mengenal pasti cabaran Syria dalam menguruskan kepelbagaian. Pengisytiharan Islam Sunni sebagai agama rasmi akan bererti diskriminasi terhadap kelompok minoriti Alawi, Druze, dan Kristian, tidak kiralah sama ada pemimpin Sunni baharu berjanji untuk menampung dan melindungi hak minoriti ataupun tidak. Lebih-lebih lagi jika pemimpin ini mengisytiharkan syariah sebagai undang-undang negara, dengan sekatan ke atas wanita dan hukuman bagi penghujatan, maka hal ini akan menjejaskan prospek demokrasi dan kewarganegaraan saksama.
Jelas sekali saya tidak mencadangkan ideologi sekularisme jalur keras yang mengecualikan Islam dan agama lain dari ranah awam di Syria ataupun negara lain. Sebaliknya, saya mencadangkan sekularisme pasif, yang membenarkan keterlihatan agama di ruang awam sambil memastikan sikap berkecuali negara dan menegakkan kewarganegaraan saksama bagi individu daripada semua latar belakang etnik dan agama.
Rujukan
Berman H (1983) Law and Revolution I: The Formation of the Western Legal Tradition. Cambridge, MA: Harvard University Press.
Berman H (2003) Law and Revolution II: The Impact of the Protestant Reformations on the Western Legal Tradition. Cambridge, MA: Harvard University Press.
Kuru A (2009) Secularism and State Policies toward Religion: The United States, France, and Turkey. New York: Cambridge University Press.
Kuru A (2019) Islam, Authoritarianism, and Underdevelopment: A Global and Historical Comparison. New York: Cambridge University Press.
Modood T and Sealy T (2024) The New Governance of Religious Diversity. New York: Polity.

