Ahmad Farouk Musa || 23 Mac 2025
Terjemahan: Ahmad Muziru Idham
Kami merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) bertarikh 20 Mac 2025. Dua buku terjemahan Bahasa Melayu yang diterbitkan oleh IRF bertajuk Islam, Autoritarianisme, dan Kemunduran Bangsa karya Ahmet T. Kuru dan Golongan Muslim Pertama: Sejarah dan Memori karya Asma Afsaruddin, telah diharamkan bersama-sama 10 buah buku yang lain.
Sebab yang diberikan adalah buku-buku tersebut mengandungi ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan akidah ahli Sunnah Wal Jamaah (AI-Asya’irah AIMaturidiyyah), syariah dan akhlak islam yang dapat mengelirukan masyarakat Islam.
Namun begitu, kami dengan tegasnya menafikan tuduhan-tuduhan sedemikian lantaran tiada mana-mana bahagian daripada buku-buku tersebut yang menyentuh tentang isu akidah. Kami berpandangan bahawa isu akidah ini – AI-Asya’irah AI Maturidiyyah – telah dijadikan senjata oleh autoriti agama di negara ini untuk menindas sebarang idea yang dianggap kritikal terhadap isu-isu yang dihadapi oleh umat Islam, khususnya berkaitan penyemakan semula terhadap sejarah yang melibatkan para sarjana Muslim generasi terdahulu dan sebarang isu yang berkaitan dengan pemikiran kritis.
Sesiapa yang telah membaca buku Asma Afsaruddin akan menyedari bahawa buku tersebut menelusuri sejarah lampau umat Islam dan menawarkan beberapa perdebatan konsep jihad dan negara Islam yang dianggap sebagai warisan Nabi. Secara asasnya, buku tersebut menghidupkan semula pemahaman tentang sejarah Islam dengan membandingkan sistem pemerintahan yang toleran di bawah Nabi Muhammad dengan sifat kekerasan yang dikaitkan dengan Islam pada masa ini.
Persoalannya adalah, adakah salah untuk mempersoalkan idea negara Islam seperti yang dipertikaikan oleh MKI? Asma membuat penilaian terhadap kedua-dua pandangan Islamis dan modernis terhadap konsep ini. Walaupun kami sangat maklum akan pandangan kelompok Islamis dalam mendirikan sebuah negara Islam, Asma menghujahkan sebaliknya bahawa idea tersebut adalah tidak berlandaskan pada sejarah. Tiada satu sumber pramoden pun yang merujuk kepada peristilahan kelompok Islamis seperti ad-Dawlah al-Islamiyyah (Negara Islam) atau al-Hukumah al-Islamiyyah (Pemerintahan Islam).
Isunya adalah sama ada MKI berpegang kepada konsep negara Islam dan percaya bahawa sebarang hujah yang menentang idea tersebut harus didiamkan ataupun tidak? Kelihatannya seolah-olah mana-mana idea yang mengajak umat Islam untuk menilai semula kefahaman mereka dan menggalakkan pemikiran kritis dianggap sebagai sesat justeru perlu diharamkan. Inilah yang dapat kami simpulkan daripada tindakan MKI dalam kes ini.
Begitu juga dengan buku Ahmet T. Kuru, di mana idea utamanya adalah untuk mengajukan isu kemunduran dunia Muslim. Kuru mengupas ideanya tentang apa yang sebenarnya menyebabkan kemunduran dan ketidakmajuan dunia Muslim, dan menyimpulkan bahawa perselingkuhan ulama-negara adalah punca utamanya. Para ulama-lah yang menentang penggunaan mesin cetak yang membawa kepada kelewatan dalam pemodenan umat Islam. Kini, perkara ini pasti telah menyinggung MKI seperti mana buku tersebut pernah menyinggung kelompok konservatif Muslim sebelum ini. Namun begitu, adakah hal tersebut memberi alasan yang wajar untuk mengharamkan sesebuah buku?
Sudah tentulah Kuru menyentuh salah seorang ahli teologi yang dihormati, yang tariqatnya sering dikaitkan dengan Asya’irah dan Maturidiyyah, iaitu al-Ghazali. Al-Ghazali dan kerajaan pada zamannya itu merupakan sebahagian daripada perselingkuhan kuat antara ulama Sunni ortodoks dengan kerajaan tentera. Menurut Kuru, al-Ghazali bukan sahaja menyumbang kepada perselingkuhan ini, bahkan turut menerima sokongannnya. Sebab itulah sumbangan utama al-Ghazali terhadap perselingkuhan ulama-negara adalah peranan teoretikalnya dalam pembentukan ortodoksi Sunni.
Bukan itu sahaja, bahkan Kuru turut mengkritik al-Ghazali terhadap ideanya mengenai okasionalisme (occasionalism). Al-Ghazali menegaskan bahawa kapas tidak akan terbakar apabila bersentuhan dengan api tanpa kehendak Tuhan. Idea ini adalah bertentangan dengan sains yang bergantung kepada konsep ‘sebab dan akibat’. Pandangan seperti ini pastinya boleh menghalang perkembangan dan kemajuan sains, dan tidak mustahil bahawa sesetengah ahli akademik mempercayai bahawa al-Ghazali telah memberi sumbangan besar kepada kemerosotan tamadun Muslim.
Pastilah dakwaan seperti ini telah membangkitkan kemarahan MKI, namun mereka seharusnya membalasnya dengan penghujahan daripada mereka, bukannya dengan mengharamkan buku-buku tersebut. Idea pengharaman buku ini adalah bertentangan dengan semangat kebebasan bersuara dan kebebasan berekspresi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di negara ini. Idea pengharaman buku bukan sahaja mencerminkan sikap anti intelektualisme MKI, bahkan turut melanggar perlembagaan persekutuan.
Apa yang kita saksikan pada hari ini adalah sejarah yang berulang. Seperti mana para khalifah pada era pertengahan memaksakan proses Sunnisasi ke atas rakyat mereka – dengan menindas kumpulan seperti kelompok rasionalis Mu’tazilah – kini kita melihat MKI turut melakukan penindasan yang serupa. Sebab itulah IRF menyuarakan bantahan yang sangat tegas terhadap RUU Mufti 2024 kerana kami telah menjangka bahawa perkara sebegini akan berlaku.
Islam versi autoritarian yang dijuarai oleh MKI mesti dilawan oleh setiap umat Islam yang percaya kepada kebebasan nurani dan kebebasan berekspresi. Sekiranya tidak, kita berisiko terperangkap dalam perselingkuhan keji antara ulama dan negara yang pada suatu ketika pernah menyebabkan kemerosotan intelektual dalam tamadun Muslim yang agung pada masa lalu.
Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa ialah seorang ahli akademik dan penyelidik di Jeffrey Cheah School of Medicine and Health Sciences, Monash University Malaysia. Dia memiliki PhD dalam bidang Surgeri daripada Monash University Australia dan Sarjana Perubatan dalam Surgeri daripada Universiti Sains Malaysia. Dia merupakan calon kedoktoran dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Muhammadiyah Malaysia dan Felo Penyelidik di Sekolah Tinggi Filsafat Islam (STFI) Sadra, Jakarta, Indonesia. Dia juga merupakan pengasas dan pengarah di Islamic Renaissance Front, Kuala Lumpur, iaitu sebuah badan pemikir yang memberi tumpuan kepada islah dan tajdid dalam Islam.