Prakata Penterjemah “Major Themes of the Qur’an” oleh Fazlur Rahman
March 1, 2023

Ahmad Muziru Idham Adnan || 1 Mac 2023

Kesarjanaan Fazlur Rahman (1919-1988) dalam wacana keIslaman adalah tidak asing lagi sehingga beliau tergolong sebagai antara tokoh reformis Islam berpengaruh abad ke-20. Sekiranya Jamaluddin al-Afghani (1838-1897), Muhammad Abduh (1849-1905) dan Rashid Rida (1865-1935) telah meletakkan batu asas kepada seruan islah dan tajdid yang membangunkan semangat reformisme Islam untuk kembali kepada landasan al-Qur’ān dan as-Sunnah, Fazlur Rahman pula telah memulakan suatu pendekatan baru terhadap metodologi tafsir al-Qur’ān dengan memperkenalkan konsep tafsir tematik yang terhimpun dalam karya agungnya, Major Themes of the Qur’ān, yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebagai Tema-Tema Agung al-Qur’ān.

Sememangnya telah sedia maklum bahawa pendekatan tafsir tematik yang dipanggil sebagai tafsir mau’dhū’i sudah wujud dalam turath keilmuan Islam, akan tetapi, pendekatan segar yang dibawa oleh Fazlur Rahman adalah tidak sekadar menghimpunkan ayat-ayat al-Qur’ān dalam suatu tema, bahkan kefahamannya digali daripada kefahaman terhadap intipati pesan Tuhan, konteks sosio-sejarah zaman pewahyuannya dan dihubungkaitkan dengan realiti yang berlaku dalam konteks masyarakat kontemporari. Sebabnya, Fazlur Rahman menginsafi bahawa pendekatan tafsir al-Qur’ān sedia ada yang kebanyakannya memetik daripada teks secara ayat demi ayat dan memberikan penjelasan terhadapnya adalah tidak mencukupi untuk memahami kehidupan dan alam semesta secara menyeluruh.

Fazlur Rahman sedar akan implikasi mewujudkan pembaharuan terhadap disiplin tafsir tradisional yang telah diterima pakai. Tetapi, dengan ketelusan dan penuh kepekaan, beliau mengambil risiko untuk melakukannya demi mengembalikan semangat dan kesedaran kaum Muslimin kepada keaslian al-Qur’ān sebagai kitab wahyu yang terus relevan sepanjang zaman. Sebabnya, tujuan utama Fazlur Rahman menulis Major Themes of the Qur’ān itu sendiri adalah bagi menjawab penulisan para orientalis, terutamanya John Wansbrough dalam bukunya, Qur’anic Studies (1977) yang mengatakan bahawa al-Qur’ān itu adalah terhasil daripada tradisi Yahudi.

Maka, Fazlur Rahman menyedari bahawa al-Qur’ān itu perlu diperjelaskan secara tematik, iaitu penyatuan ayat-ayat Qur’ān mengikut tema kerana yakin bahawa “eksposisi sintetik ini merupakan satu-satunya cara untuk memberikan sebuah rasa keaslian bagi al-Qur’ān terhadap seseorang pembaca, iaitu Pesan Tuhan kepada manusia.” Cara ini dapat membalas hujah-hujah orientalis tersebut dalam menjawab bahawa al-Qur’ān itu merupakan wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW kerana tema-tema Qur’āni tersebut membawa mesej ketulenan ajaran Islam yang kekal relevan sepanjang zaman dan kepada semua umat manusia.

Dengan pendekatan ini, maka ia memberi asas panduan moral dan etika kepada para pembacanya tentang seruan utama al-Qur’ān dalam kehidupan, sebelum pergi lebih jauh kepada disiplin-disiplin pengajian Islam yang lebih mendalam. Kata Fazlur Rahman, “Tidak ada keraguan lagi bahawa tujuan utama al-Qur’ān adalah untuk mendirikan sebuah aturan sosial mampan yang akan menjadi adil dan berteraskan etika.” Dalam mengusahakan pendekatan ini, Fazlur Rahman mengusulkan Teori Gerakan Berganda (Double Movement Theory) dalam usaha beliau untuk berdialog antara teks dan konteks. Beliau sangat mengapresiasi sejarah dan cuba untuk menyesuaikan perkembangan dalam segenap ruang dan waktu. Beliau mencuba teori gerakan berganda ini dengan pertamanya; bergerak dari realiti masakini kepada zaman di mana teks diturunkan dengan memahami nuansa konteks historis bagi teks tersebut; dan keduanya, bergerak dari zaman konteks historis yang tersebut itu untuk balik semula kepada realiti yang kontemporari.

Daripada teori ini, Fazlur Rahman mengajak masyarakat untuk memahami al-Qur’ān dalam konteks yang lebih luas dan tidak disempitkan kepada perihal hukum perundangan semata-mata seperti yang lazim dilakukan oleh para ulama. Sebab itu Fazlur Rahman mempertegaskan untuk membezakan perihal hukum-hakam dan perintah moral di dalam al-Qur’ān itu. Katanya, “…dalam memahami reformasi sosial al-Qur’ān, kita akan menuju kepada kesalahan fundamental sekiranya kita tidak membezakan di antara enakmen hukum dan perintah moral. Hanya dengan membuat pembahagian terhadap kedua-dua perkara tersebutlah, maka kita tidak bukan sahaja memahami orientasi sebenar pengajaran al-Qur’ān, malahan turut menyelesaikan permasalahan rumit tertentu yang berkaitan…”

Tidak dinafikan bahawa, dalam keunggulan sumbangan Fazlur Rahman terhadap bidang keIslaman kontemporari, beliau tetap tidak terlepas daripada kontroversi pendekatannya yang dianggap menyalin pendekatan hermeneutika. Bagi para tradisionalis Islam, hermeneutika adalah metodologi dalam mentafsir dan mengkritik kitab Bible, justeru adalah terasing daripada tradisi keilmuan Islam dalam mendekati teks-teks wahyu. Tetapi, sebenarnya ia adalah tuduhan yang tidak berasas terhadap kesarjanaan Fazlur Rahman kerana – sekiranya diteliti Major Themes of the Qur’an secara menyeluruh – kita akan dapat faham sesegeranya bahawa hermeneutika yang dibawa oleh Fazlur Rahman adalah berbeza daripada tuduhan-tuduhan kontroversial terhadapnya yang salah faham terhadap pendekatan Fazlur Rahman dalam menanggapi teks wahyu.

Fazlur Rahman bukan sahaja telah menjadikan al-Qur’ān sebagai sebuah teks wahyu yang hidup malar segar sepanjang zaman, bahkan telah memberi ruang kepada norma moraliti dan hukum-hakam al-Qur’ān untuk berinteraksi dengan suasana kontemporari meskipun konteks pewahyuannya telah selesai lebih daripada 1500 tahun yang lalu. Penjelasan terhadap metodologi Fazlur Rahman ini akan lebih jelas kalau dibaca bukunya yang lain, Islam and Modernity, yang menekankan perihal moral-sosial dan konteks sejarah pewahyuan sewaktu zaman Nabi Muhammad SAW. sebagai respon Ilahi terhadap apa yang berlaku di sekeliling melalui Nabi. Jadi, nilai dan makna wahyu digali secara menyeluruh dan tidak sekadar bergantung kepada harfiah teks semata-mata.

Bahkan, kontroversi ini turut dijawab oleh Moh. Agus Sifa dan Muhammad Aziz dalam makalahnya, Telaah Kritis Pemikiran Hermeneutika “Double Movement” Fazlur Rahman (1919 – 1988). Mereka menekankan bahawa, pendirian Fazlur Rahman ini adalah selari dengan Imam asy-Syātibi – seorang ulama usul fiqh yang terkenal dengan teori maqāsid syari’ah –  bahawa “memahami al-Qur’ān perlu memahami situasi dan kondisi dimana al-Qur’ān itu diturunkan dan memahami teks bahasa Arab dibutuhkan juga pengetahuan sejumlah keadaan (muqtadhayat al-ahwal), keadaan bahasa (hal nafs al-khithab), keadaan mukhathib (pengarah) dan keadaan mukhathab (audien).” Maka, pendirian Imam asy-Syātibi yang menyarankan agar para pentafsir al-Qur’ān untuk memahami al-Qur’ān berdasarkan teks dan konteks bahasa Arab pada ketika itu adalah sejajar dengan kefahaman Fazlur Rahman dalam Teori Gerakan Berganda. Secara tidak langsung, ia adalah kritik beliau terhadap mufassir klasik yang tidak memberi perhatian kepada konteks zaman Arab dan bagaimana pewahyuan al-Qur’ān diturunkan sebagai respon kepada kasus-kasus peristiwa sewaktu zaman Nabi.

Dalam hal ini,  pengalaman saya secara peribadinya dalam menterjemah Major Themes of the Qur’an adalah sangat berharga kerana ia membuka ruang kepada sisi pandang yang lebih luas tentang ranah keIslaman, terutamanya tentang wacana Qur’āni. Kefahaman jitu Fazlur Rahman terhadap kandungan al-Qur’ān terlihat ketara dalam buku ini, di mana beliau telah menghubungkan banyak ayat al-Qur’ān di mana-mana tempat dalam menjawab persoalan-persoalan asas dan penting kaum Muslimin yang dijalinnya dalam tema-tema besar ajaran Islam. Hampir tiada suatu petikan pun daripada sumber-sumber lain dijadikan sebagai pembuktian atau penguatan hujah, melainkan segala-galanya yang terkait dengan persoalan kaum Muslimin itu adalah dijawab secara langsung oleh al-Qur’ān itu sendiri.

Di tangan Fazlur Rahman, al-Qur’ān terlihat hidup untuk berkomunikasi langsung dengan para pembacanya untuk menjawab sebarang syubhat dan keraguan yang bersarang dalam jiwa. Sebagai seorang manusia dan seorang ilmuwan, sudah tentulah ada kelemahan Fazlur Rahman di sana sini, seperti yang ditimbulkan oleh Ebrahim Moosa dalam ruangan Kata Pengantar. Tetapi kritikan itu tidaklah menafikan kesarjanaan Fazlur Rahman yang sangat besar pada abad ke-20 dalam menumbuh dan mengembangkan wacana Qur’āni kontemporari dengan lebih matang, serta memberi idea kepada sarjana-sarjana Muslim kontemporari selepasnya untuk menyuburkan wacana-wacana Islam secara lebih kritis.

Darihal itu, sumbangan Fazlur Rahman dalam dunia kesarjanaan Islam adalah sangat besar sehingga mempengaruhi ramai tokoh pemikir Islam abad ke-21 seperti Abdolkarim Soroush, Abdullah Saeed, Farid Esack, Ebrahim Moosa, Abdullahi Ahmed An-Na’im dan ramai lagi. Pengaruh itu dapat terlihat dalam kerja-kerja keilmuan para tokoh tersebut yang mula melihat akan kepentingan untuk mendekati disiplin keIslaman secara kritis dan bersifat kontemporari namun dalam masa yang sama masih mengekalkan turāth Islam dalam pewacanaan. Dengan pendekatan Gerakan Berganda yang diusulkannya, maka ia memberi idea kepada para pemikir kontemporari untuk tidak sekadar menjengah semula konteks kesejarahan bangsa Arab bagi menganalisis intipati kewahyuan dengan lebih tajam dan tepat, bahkan turut menggali moraliti dan norma sosial yang Fazlur Rahman percaya adalah bersifat universal tetapi memiliki nilai dan kepercayaan yang berbeza mengikut konteks masyarakatnya.

Contohnya, Fazlur Rahman membicarakan secara terperinci perihal hak kesaksamaan antara lelaki dan wanita serta kesetaraan manusia yang seringkali tidak seimbang dalam perbincangan para ulama silam yang membataskan kefahaman mereka sekadar pada zahir ayat al-Qur’ān. Tetapi di sisi Fazlur Rahman, kesaksamaan hak lelaki dan wanita dan kesetaraan manusia sebetulnya sudah dijamin dalam al-Qur’ān yang difahami melalui perbandingan di antara konteks sosio-sejarah masyarakat Arab sewaktu zaman pewahyuan, sebab-musabab hukum, dan semangat sebenar yang diisyaratkan dalam al-Qur’ān sebagai sebuah perintah moral daripada Tuhan.

Major Themes of the Qur’an merupakan adikarya Fazlur Rahman yang telah menampilkan bahawa ajaran Islam itu adalah kekal relevan sepanjang zaman serta mampu menjawab persoalan-persoalan hukum kontemporari dengan baik. Buku ini memperjelaskan bagaimana hubungan di antara Tuhan, manusia, alam semesta dan alam ghaib, berinteraksi antara satu sama lain sebagai suatu bentuk hubungan bersepadu dan mewujudkan tauhid keimanan yang mewujudkan kesan kepada faham hidup yang berasaskan prinsip keadilan, kesaksamaan, dan kebebasan. Buku ini wajar dibaca oleh semua orang sebagai asas untuk memahami perkara-perkara fundamental dalam ajaran Islam dan tidak menyempitkan kefahaman Islam hanya berlandaskan kepada kitab-kitab klasik semata-mata dalam keadaan realiti dunia sudah banyak berubah daripada zaman dahulu. Buku ini, seperti kata Ebrahim Moosa, adalah mengenai “penghormatan terhadap masa lalu atau sejarah” dan “menolak tanggapan-tanggapan mengenai masa lalu yang tidak bersepadu dengan kisah mengenai kemajuan.” Dan buku ini, adalah upaya penting Fazlur Rahman dalam memapar dan mempertegaskan bahawa al-Qur’ān adalah kitab agung yang membawa pesan Tuhan kepada manusia untuk hidup makmur di atas muka bumi ini dengan berteraskan pada keadilan dan etika sosial yang baik.


Ahmad Muziru Idham Adnan adalah Felo di Islamic Renaissance Front dan sarjana Hubungan Antarabangsa daripada Universiti Kebangsaan Malaysia. Buku Tema-tema Agung al-Qur’ān ini akan diterbitkan oleh Islamic Renaissance Front pada bulan Mei 2023 ini.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022