Penulis: Nageeb Gounjaria & Ahmad Farouk Musa || 10 Oktober 2022
“…kerajaan yang bakal pemerintahnya mendatangi tugasnya dengan kurang keghairahan pasti mempunyai kerajaan yang terbaik dan paling tenang, manakala kerajaan yang pemerintahnya tidak sabar-sabar untuk memerintah adalah kerajaan yang terburuk.”
[Plato, Republik]
SCRIPT: FOR A BETTER Malaysia yang diterbitkan bersama oleh Institut Darul Ehsan (IDE) dan Centre for Postnormal Policy and Future Studies (CPPFS) merupakan penerbitan terkini Anwar Ibrahim. Manifesto setebal 180 halaman tersebut yang ditulis untuk pilihan raya umum ke-15 akan datang merangkumi rangka kerja dasar pemimpin pembangkang tersebut. Rangka kerja dasar tersebut akan membimbing pembangunan jangka panjang negara, di mana beliau berusaha dalam memenuhi janji bagi kempen reformasinya bagi sebuah Malaysia yang berkembang maju, dinamik, inklusif, lagi adil.
SCRIPT – akronim bagi Kelestarian (Sustainability), Penjagaan (Care) & Kasih Sayang (Compassion), Hormat (Respect), Inovasi (Innovation), Kemakmuran (Prosperity) dan Kepercayaan (Trust) – merangkumi enam pemacu atau peraturan yang harus membimbing penggubalan dasar untuk membetulkan, menyelaraskan semula, dan memperkasakan Malaysia yang terjejas pada zaman pascanormal kita. Menurut pengarang, era baharu kita ini tidak pernah berlaku pada zaman sebelum ini, di mana era ini dicirikan oleh sebuah dunia yang bukan sahaja lebih global dan saling berhubung, bahkan juga lebih berkonflik, huru-hara, dan rumit. Dalam mengharungi samudera ketidakpastian yang tidak menentu, maka pendekatan konvensional tidak lagi berfungsi. Oleh sebab itu, jalan keluar kepada permasalahan rumit memerlukan kepada penyelesaian yang sofistikated dan bukannya tergesa-gesa.
Tegas Anwar Ibrahim, enam pemacu teras tersebut adalah saling berkaitan dan memerlukan kepada penyelarasan bersama antara satu sama lain bagi mencapai keberkesanannya. Beliau kemudiannya terus mendekonstruksi pemacu-pemacu teras tersebut bagi menunjukkan bahawa hal-hal tersebut telah diperkecilkan kepada suatu kebiasaan yang sekadar untuk merasa bagus – jikalaupun bukanlah kata-kata kosong yang tidak bermakna – yang kebanyakannya memenafaatkan hanya kepada segelintir mereka yang berkedudukan. Aturan atau presep yang telah dimandulkan ini tidak boleh berfungsi sebagai paksi kepada sebuah projek pembangunan negara yang besar melainkan ianya disemarakkan semula; umpama sebuah rumah yang berada di atas asas yang goyah, cenderung untuk runtuh.
Sebagai usaha untuk menyemarakkan aturan ini, pengarang tersebut menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar menggali kearifan tempatan peribumi mereka yang kaya namun kurang dihargai ini dengan lebih mendalam untuk meraih inspirasi. Bagi menggerakkan perkara tersebut, beliau menggambarkan bagaimana aturan yang ditambah baik itu dapat melancarkan kuasa transformatif mereka dengan lebih serasi dengan realiti Malaysia dan setia kepada aspirasi rakyat, yang kini kami akan berikan tumpuan.
Mari mulakan dengan kelestarian (sustainability). Secara umumnya, kelestarian adalah merujuk kepada tanggungjawab dalam penggunaan sumber-sumber semulajadi dengan cara yang memenuhi keperluan dan kebajikan semasa tanpa menjejaskan generasi mendatang. Dengan menggabungkan dua konsep daripada bahasa Melayu, iaitu kemampanan dan keseimbangan, maka sebuah definisi Malaysia akan meluaskan kelestarian yang merentasi persekitaran semulajadi untuk merangkumi masyarakat luar bandar dan bandar, keluarga dan individu yang membentuk sebahagian daripada ekosistem.
Bahkan, Tuhan memberi amaran kepada kita tentang akibat daripada keterlibatan dalam sikap yang berlebih-lebihan:
[Kerana mereka telah lalai akan Tuhan,] kerosakan telah zahir di darat dan di laut hasil apa yang tangan manusia kerjakan: dan kerana itu Dia akan merasakan kepada mereka [keburukan] sebahagian daripada perbuatan mereka, supaya mereka dapat kembali [kepada jalan yang benar].
[Sura ar Rūm; 30:41]
Penjagaan (care) biasanya ditakrifkan sebagai pemeliharaan dan perlindungan kesihatan serta kebajikan orang lain. Manakala belas kasihan pula adalah perasaan kesedihan atau kebimbangan terhadap penderitaan atau keperluan orang yang disayangi (insan lain atau makhluk hidupan lain) bersama-sama dengan keinginan untuk mengurangkan penderitaan tersebut. Bahasa Melayu mempunyai konsep peduli dan penyayang yang kedua-duanya merupakan gabungan daripada perkataan peng+sayang — sayang (love); belas kasihan (compassion) — cinta (love). Dalam konteks Malaysia, penjagaan dan belas kasihan memerlukan cinta kepada orang lain (jiran, komuniti dan masyarakat lain) dengan cara lebih menyeluruh. Hal tersebut menjadikannya sebagai satu kewajiban untuk memberi dan hak untuk menerima, sama sepertimana konsep zakat dalam Islam.
Dalam hal ini, Tuhan memerintahkan kita untuk menjaga orang miskin dan orang yang memerlukan:
“Tahukah kamu [jenis orang] yang mendustakan semua hukum moral? Sesungguhnya, inilah [jenis orang] yang menyingkir anak yatim, dan merasa tiada desakan untuk memberi makan orang yang memerlukan.”
[Sura al-Maūn; 107:1-3]
Hormat (respect) bermaksud mengambil berat terhadap pendapat, kehendak, dan hak orang lain berdasarkan pendidikan, pencapaian, dan pangkat mereka dalam masyarakat. Ia selalunya merangkumi unsur kesetiaandan ketaatan. Bahasa Melayu mempunyai dua persamaan, iaitu hormat (menghormati maruah manusia) dan perkataan pinjaman Arab adab (berbudi bahasa, kesopanan, kerendahan hati). Konsep penghormatan dalam budaya Malaysia yang diperkaya akan menekankan hak asasi manusia dan maruah yang tidak boleh dipisahkan sebagai asas tingkah laku sivik; perihal itu akan diberikan kepada orang lain tanpa mengira timbal balik.
Al-Qur’an memerintahkan kita untuk melayani semua makhluk dengan rasa hormat, penghormatan dan bermaruah. Menghormati kemanusiaan adalah termasuk menjauhi penyebaran berita palsu dan menyemai perbalahan dalam kalangan manusia. Hormat juga termasuklah mengasihi orang lain walaupun mereka bukan dari bangsa atau agama kita sendiri.
“Wahai manusia! Saksikanlah, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan telah menjadikan kamu ke dalam bermacam bangsa dan kabilah, supaya kamu dapat mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya, yang paling mulia di antara kamu di sisi Tuhan adalah seorang yang paling mendalam kesedarannya pada Tuhan. Saksikanlah, Tuhan adalah Maha-mengetahui, Maha-menyedari.”
[Surah al-Hujurat; 49:13]
Satu lagi komponen penghormatan adalah dengan melayani orang lain seperti mana kita ingin dilayani dan cara kita mengharapkan Tuhan akan melayani kita, iaitu, dengan kasih sayang dan belas kasihan. Penghalang di antara kita dengan rahmat Tuhan adalah dosa-dosa besar yang Tuhan perintahkan untuk kita jauhi. Tuhan memperingatkan kita terhadap dua daripada dosa-dosa itu, iaitu mengintip dan mengumpat, yang akan menimbulkan kekacauan masyarakat:
“Jauhi semua prasangka [tentang satu sama lain] —kerana, saksikanlah, sebahagian dari prasangka [itu] adalah [sendirinya] suatu dosa; dan jangan mengintip satu sama lain, dan jangan benarkan dirimu memperkatakan keburukan sesamamu di belakang kamu…”
[Surah al-Hujurat; 49:12]
Inovasi (Innovation) – yang selalunya dikaitkan dengan teknologi – merujuk kepada idea, produk, proses atau sistem baharu yang merupakan penambahbaikan pada konsep atau operasi terdahulu. Dalam leksikon bahasa Melayu, inovasi diterjemahkan sebagai pembaharuan, pengenalan, rekacipta dan reka baru, di mana semuanya disemai dengan idea reka bentuk sedar dan usaha kreatif. Malaysia yang inovatif menyediakan persekitaran yang kondusif bagi kreativiti buatan sendiri untuk berkembang dan melahirkan idea, produk, proses dan sistem yang lebih baik yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat.
Al-Qur’an menerajui sebuah revolusi sains dan teknologi apabila diturunkan pada 1400 tahun yang lalu. Sesungguhnya ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi adalah Iqra’! Baca! Banyak ayat dalam al-Qur’an yang meletakkan orang berilmu dalam kedudukan istimewa sambil mendorong kita untuk menuntut ilmu dengan tekun. Hanya melalui sains lah maka kita dapat menemui dan menghargai kerja-kerja Tuhan. Malah, walaupun kebanyakan orang mengatakan bahawa Tuhan bekerja dengan cara yang misterius, namun kami lebih cenderung untuk mengatakan bahawa Tuhan bekerja dengan cara yang saintifik!
Dalam beberapa ayat pertama al-Qur’an, Tuhan berfirman:
“Bacalah dengan nama Tuhanmu, yang telah menciptakan—yang menciptakan manusia daripada sel germinal! Bacalah—kerana Tuhanmu ialah Yang Maha Pemurah. Yang telah mengajar [manusia] mengguna pena.”
[Surah al-Alaq; 96:1-4]
Kemakmuran (prosperity) – yang secara umumnya dikaitkan dengan kejayaan kewangan dan keselesaan material – dilucutkan konotasinya yang terlalu materialistik dalam versi Malaysianya. Anwar Ibrahim percaya bahawa kemakmuran sebenar adalah termaktub dalam konsep Islam falah (kejayaan, kebahagiaan, dan kesejahteraan). Falah, perkataan yang dikumandangkan sebanyak lima kali sehari dalam azan oleh muazzin untuk solat berjemaah, merupakan pusat kepada Islam. Bertentangan dengan Marxisme, Islam tidak menganggap kekayaan sebagai kejahatan secara intrinsik. Walau bagaimanapun – tidak seperti kapitalisme – Islam meluaskan konsep tersebut kepada seluruh masyarakat dan bukannya membataskan kepada individu, dengan menekankan bahawa kelimpahan adalah rahmat untuk dikongsi.
Al-Qur’an memberi penekanan khusus pada pengagihan kekayaan, di mana kekayaan tidak boleh ditimbunkan oleh golongan kaya. Dalam konteks Malaysia, kami dapati bahawa dasar neoliberal rejim semasa, dengan penekanan kepada pasaran bebas dan penswastaan, hanya menguntungkan segelintir golongan elit terutamanya terhadap usahawan kaya. Dasar ekonomi ini mesti dirombak. Apa yang kita perlukan adalah sistem ekonomi adil yang saksama kepada semua tanpa mengira kaum dan fahaman di samping menjunjung semangat sebenar demokrasi, hak individu, toleransi, kesetaraan gender, dan pluralisme.
Wawasan Anwar Ibrahim terhadap ekonomi tersebut mengingatkan kepada mesej Qur’ani:
“…supaya ia tidak menjadi [suatu faedah] yang berlegar dan berputar di sekitar kelompok kamu yang telah [sedia] kaya…”
[Surah al-Hashr; 59:7]
Plato pernah berkata:
“Tidak sepatutnya wujud kemiskinan melampau ataupun kekayaan berlebihan dalam kalangan masyarakat, kerana kedua-duanya menghasilkan kejahatan yang besar.”
[Plato, Republik]
Akhir sekali, kepercayaan (trust). Dengan memahaminya sebagai suatu keyakinan tetap bahawa ianya merupakan hal yang benar dan tidak memerlukan kepada pengesahan empirikal, maka kepercayaan itu biasanya dikaitkan dengan pemeliharaan diri, kekayaan, dan harta benda. Sesungguhnya kepercayaan itu adalah asas kepada masyarakat. Di tengah-tengah kepercayaan semasa yang semakin menyusut dalam masyarakat kontemporari, maka kearifan tempatan mempunyai tiga perkataan untuk menghidupkan semula makna sebenar bagi kepercayaan, iaitu perkataan pinjaman Arab amanah (sumpah tanggungjawab moral duniawi, ketuhanan, dan rohani), dan perkataan Melayu kepercayaan (iman) serta pertanggungjawaban(tanggungjawab yang perlu dibalas dengan mulia).
Memenuhi amānah atau kepercayaan menjadikan kehidupan peribadi dan sosial seseorang lebih bermakna. Ia bukan sahaja merupakan kualiti orang beriman, bahkan merupakan ciri-ciri orang yang bermaruah dan berintegriti. Malangnya, dalam masyarakat kontemporari kita, pemimpin yang kurang amānah dijulang sebagai pahlawan. Masyarakat telah gagal memahami keutamaan amānah seperti yang didokong dalam Al-Quran:
“…dan yang menepati amanah dan ikrar mereka; dan yang memelihara sembahyang mereka [daripada semua maksud duniawi]. Merekalah, mereka yang akan menjadi pewaris yang akan mewarisi syurga; [dan] di sana mereka akan tinggal.”
[Surah al-Mu’minūn; 23:8-11]
Selepas dekonstruksi, dekolonisasi, dan menambah baik pemacu yang akan memandu agenda reformasinya, seterusnya Anwar Ibrahim dengan gigihnya menunjukkan bagaimana elemen-elemen tersebut boleh digunakan dalam penggubalan dasar merentasi semua sektor kerajaan (pendidikan, ekonomi, undang-undang, alam sekitar, budaya, pelancongan, industri, pertanian, penjagaan kesihatan, pengangkutan, dll). Sememangnya sektor-sektor ini lusuh selepas bertahun-tahun berlakunya salah urus tadbir secara terang-terangan, rasuah yang berleluasa dan kronisme yang berakar umbi. Akibatnya, sistem pendidikan tidak berfungsi; ekonomi menyusut; kos sara hidup terus meningkat; ramai orang jatuh miskin; sistem perundangan telah dirampas oleh orang kaya dan berkuasa; kemerosotan alam sekitar terus berlaku tanpa henti; pelabur asing meninggalkan negara beramai-ramai; ketakutan dan syak wasangka antara masyarakat telah meningkat; jurang bandar-luar bandar semakin melebar – dan seterusnya senarai-senarai lain yang lebih panjang.
Dengan peringatan mengenai sifat realiti pascanormal kita yang sentiasa berubah, justeru pengarang memberi amaran bahawa dasar-dasar yang digariskan dalam buku ini tidak diukir di atas batu; bukan seperti mana tablet Nabi Musa. Sebaliknya, sambil kekal berpegang teguh kepada rangka kerja SCRIPT, beliau menyokong etos pragmatisme, di mana dasar harus diutamakan, disesuaikan atau dibuang berdasarkan keperluan dan cabaran yang berubah mengikut zaman.
Pengarang patut dipuji kerana wawasannya untuk Malaysia 2.0, iaitu Malaysia yang lebih tulen, yakin mencipta dan mengejar matlamat serta takdirnya sendiri berbanding sekadar mengikut apa yang telah diterapkan oleh orang lain; sebuah Malaysia yang menjadi pembawa obor dan bukannya pengikut buta; sebuah Malaysia yang hidup dan bernafas beersama dengan orang lain, bukannya di bawah orang lain.
Hal sedemikian itu memerlukan kepada imaginasi yang tidak terbatas dan takungan keberanian yang besar bagi menghasilkan visi yang berani berdasarkan paradigma baru, serta perancangan yang kukuh untuk merealisasikannya. Sesungguhnya ia merupakan ciri negarawan dan pemimpin yang sejati. Tidak diragukan lagi bahawa Anwar Ibrahim ialah seorang yang sebegitu. Beliau mempunyai semua kualiti seorang pemimpin yang baik. Pada dirinya ada kompas moral yang kuat dengan sauh yang ampuh, keupayaan untuk bergerak dalam persekitaran yang kompleks dan tidak menentu, serta potensi untuk mencipta ruang buat pembaharuan dan pertumbuhan untuk masa bergelora di hadapan kita. Walaupun beberapa kali dipenjarakan dan dihalang, namun beliau tidak pernah berputus asa memperjuangkan Malaysia yang adil dan inklusif. Beliau menginspirasikan kita untuk mengikut jejak langkahnya demi mengejar matlamat bersama dan mencipta masa depan kita sendiri.
Seperti semua manifesto, buku ini adalah suatu seruan untuk bertindak; seruan untuk bersiap siaga dalam menghadapi cabaran yang tidak dijangka sebelum bencana menimpa lagi; seruan untuk semua rakyat Malaysia – dari semua latar belakang dan kepelbagaian – agar mengenepikan perbezaan mereka, mengambil bahagian dalam membina kehidupan yang lebih baik buat diri mereka dan generasi akan datang, serta mengambil bahagian dalam pencapaian kita.
Pembaca akan mendapati bahawa buku ini memiliki wawasan yang luas dalam pendekatannya. Buku ini mengambil kira pengalaman politik Anwar Ibrahim yang panjang, bacaan, syarahan, perbincangan, dan meditasi bersendirian bersama input berharga daripada pelbagai pemikir, pakar strategi, ahli ekonomi, pakar undang-undang, saintis politik dan futuris. Buku ini adalah bacaan penting bagi sesiapa yang berminat dengan Malaysia dan masa depannya.
Esei ini adalah terjemahan daripada esei bertajuk SCRIPT – Anwar Ibrahim’s Vision for a Better Malaysia: A Review. Esei asal turut disiarkan di Free Malaysia Today: https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2022/10/11/anwar-ibrahims-vision-for-a-better-malaysia-a-review , di Academia.Edu: https://www.academia.edu/88282245/SCRIPT_Anwar_Ibrahims_Vision_for_a_Better_Malaysia_A_Review?email_work_card=view-paper , dan di sesawang IRF: https://irfront.net/post/articles/script-anwar-ibrahims-vision-for-a-better-malaysia-a-review/