Arief Subhan & Ahmad Farouk Musa || 30 Disember 2024
Terjemahan: Ahmad Muziru Idham
Kami membaca pelbagai laporan mengenai sebatan di khalayak awam terhadap seorang lelaki terhadap kesalahan khalwat bersama kenalan berlainan jantina dengan penuh kekesalan. Islam yang diketahui sebagai sebuah agama rahmah dan belas kasihan telah diejek sebagai ganas dan jahat.
Walaupun kami faham bahawa tujuan hukuman tersebut adalah untuk menunjukkan komitmen kerajaan negeri Terengganu dalam memperkasa hukum Islam, dan mendidik masyarakat awam bersesuaian dengan perintah Tuhan; namun kami berdiri teguh dengan Sahibus Samahah Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bahawa tiada peraturan khusus dalam hukum syari’ah yang menghukum kesalahan khalwat untuk dikenakan sebatan di khalayak awam. Sebaliknya, tujuan hukum syari’ah adalah untuk menggalakkan agar menyembunyikan aib peribadi seseorang individu.
Adakah menyebat seseorang individu disebabkan khalwat (secara literalnya bermaksud pertapaan, yang memiliki konotasi positif dalam tradisi Islam) yang dianggap boleh menimbulkan syak wasangka berlakunya maksiat menjadikan kita sebagai pembela Islam, atau sebaliknya tindakan tersebut menyebabkan berlakunya penyelewengan terhadap semangat sebenar hukum Syari’ah?
Lupakah kita terhadap Nabi sendiri yang teragak-agak atau enggan untuk mengenakan hukuman hadd (mufrad bagi hudud) terhadap penzina yang mengakui akan dosanya?
Apabila Ma’iz al-Aslami mengakui bahawa dia telah berzina kepada baginda Nabi, Nabi enggan melayani Ma’iz dalam perbualan tersebut dan memalingkan wajahnya. Meskipun kami sedia maklum bahawa terdapat pelbagai riwayat bagi hadith tersebut, namun apa yang berlaku adalah Nabi pada akhirnya bertanya – selepas memalingkan mukanya untuk kali keempat sama ada Ma’iz gila ataupun tidak. Kemudian, Nabi bertanya pula pada Ma’iz sama ada dia benar-benar faham tentang maksud zina, atau “mungkin kamu hanya menciumnya, atau mengenyit mata kepadanya, atau mengendapnya?” Pada akhirnya, Nabi bertanya kepada Ma’iz atau kenalannya sama ada dia sudah berkahwin ataupun tidak.
Usaha Nabi memalingkan muka daripada Ma’iz dan tidak mengindahkannya tersebut boleh ditafsirkan sebagai sebuah keengganan yang sangat tinggi untuk mengenakan hukuman hadd. Ia mencerminkan suatu tujuan yang jelas untuk mengizinkan Ma’iz agar berfikir semula dan dibiarkan berseorangan supaya dia dapat bertaubat dengan Tuhannya.
Bandingkan tindakan mulia Nabi dengan pendekatan ala Taliban oleh PAS. Meskipun kami teragak-agak untuk membuat perbandingan secara langsung tersebut, namun hal ini tanpa ragu lagi merupakan tindakan meletakkan keutamaan bukan pada tempatnya. Daripada memberikan penumpuan kepada hukum jenayah, sepatutnya kita perlu menanggani isu-isu yang lebih mendesak – seperti menyelesaikan hal ehwal perceraian dan nafkah di mahkamah Syari’ah yang belum selesai, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan atau menawarkan keperluan asas seperti air yang bersih dan rumah mampu milik.
Apabila terdapat ramai lagi orang yang masih tinggal di perkhemahan sementara selepas banjir yang telah menjadi seakan acara tahunan; apabila isu air yang bersih lagi jernih masih lagi menjadi masalah utama; dan apabila para belia kita berhadapan dengan kadar penyalahgunaan dadah dan pengangguran yang tinggi; pengutamaan terhadap pengenaan hukuman terhadap kesalahan peribadi bukan sahaja merupakan tindakan yang tidak sesuai, bahkan turut memaparkan kurangnya kefahaman terhadap Fiqh Awlawiyyat (fiqh keutamaan).
Tujuan utama Syari’ah – seperti mana-mana sistem perundangan lain – adalah untuk menegakkan keadilan dan mempromosi kebajikan manusia. Syari’ah – yang tidak diwartakan – memerlukan agensi manusia untuk bertindak menghampiri keadilan Tuhan. Ketika manusia boleh melakukan kesilapan dalam proses ini, maka adalah lebih baik untuk berlaku silap dalam belas kasihan, berbanding dalam kekejaman yang berselindung di sebalik Kehendak Tuhan.
Perlu ditekankan di sini bahawa ahli Psikologi Perubatan turut berpendapat bahawa tahap kekusutan daripada sebatan di khalayak awam akan meninggalkan kesan psikologi yang boleh membawa kepada kecelaruan pemikiran dan ideasi membunuh diri mahupun perbuatan bunuh. Sebatan di khalayak awam juga akan menyebabkan isu kesihatan mental seperti kemurungan dan gangguan tekanan pasca trauma (post-traumatic stress disorder, PTSD).
Hakikatnya, sebatan awam untuk khalwat adalah tidak berasas dalam Syari’ah. Menolak sebatan awam bagi kesalahan sedemikian tidak sepatutnya dilihat sebagai menolak prinsip-prinsip Islam.
Al-Qur’an adalah sangat jelas dalam isu ini. Al-Qur’an melarang tindakan mengintip – seperti dalam kes menegakkan kesalahan khalwat – atau dalam istilah Qur’anik, tajassus. Dalam Surah al-Hujurat (Kamar Persendirian) ayat 12, Allah SWT berfirman:
“Wahai kamu yang telah mencapai keimanan! Jauhi semua prasangka [tentang satu sama lain] – kerana, saksikanlah, sebahagian dari prasangka [itu] adalah [sendirinya] suatu dosa; dan jangan mengintip satu sama lain, dan jangan benarkan dirimu memperkatakan keburukan sesamamu di belakang kamu.” [Al-Qur’an; 49:12]
Ayat tersebut memaparkan perintah yang jelas dalam al-Qur’an yang melarang sebarang bentuk intipan demi menghukum dosa-dosa peribadi. Majlis agama di Terengganu, dan negeri-negeri lain di bawah Perikatan Nasional ataupun Pakatan Harapan, perlu mengambil perhatian terhadap perintah Tuhan ini dan menghentikan sebarang amalan keji seperti intipan terhadap khalwat, yang mana perkara ini jelas diharamkan dalam al-Qur’an.
Mengenakan hukuman keras tidaklah menjadikan kita lebih Islamik pada pandangan Tuhan. Islam adalah tentang keadilan, rahmah, dan hikmah. Kita mesti bertanyakan kepada diri kita sendiri: Bukankah tugas kita adalah untuk menyebarkan keadilan berlandaskan al-Qur’an?
Seperti yang Ibn Qayyim al-Jauziyyah, seorang murid Ibn Taimiyyah yang terkenal, telah menulis dalam bukunya I’lam al-Muwaqi’in:
“Asas Syari’ah adalah hikmah dan menjaga kepentingan masyarakat di dunia ini dan pada hari akhirat. Semuanya adalah tentang keadilan, rahmah, dan hikmah. Setiap hukum yang mengabaikan keadilan kepada tirani; rahmah kepada kekejaman; baik kepada jahat; dan hikmah kepada pelecehan bukanlah datang daripada Syari’ah; walaupun secara tersiratnya ia diperkenalkan secara sedemikian.”
Ibn Qaiyyim juga berkata:
“Syariah adalah keadilan dan rahmat Tuhan dalam kalangan umat-Nya. Kehidupan, pemakanan, perubatan, pemulihan dan kebaikan adalah wujud disebabkan olehnya. Setiap kebaikan yang wujud berasal daripadanya, dan setiap kekurangan adalah akibat dari kehilangan dan pemborosannya. Sebab itulah Syari’ah yang diamanahkan oleh Tuhan kepada Nabi-Nya untuk disampaikan adalah tiang kepada dunia ini dan kunci kejayaan serta kebahagiaan di dunia dan akhirat.”
Islam secara fundamentalnya adalah agama rahmah dan belas kasihan. Maka, rahmah seharusnya menjadi prinsip panduan dalam segala pelaksanaan Syari’ah.
Nota: Esei ini adalah terjemahan bebas dari esei asal bertajuk: Public Caning for Close proximity: A Blight on Islam – Islamic Renaissance Front yang diterbitkan oleh Islamic Renaissance Front. Esei ini juga diterbitkan oleh Free Malaysia Today.
Arief Subhan memiliki MA Religion in Global Politics daripada SOAS University of London. Beliau merupakan Felo Penyelidik di Pusat Dialog Peradaban (Centre for Civilizational Dialogue, UMCCD).
Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa memiliki PhD dalam bidang Surgeri daripada Monash University Australia dan calon Kedoktoran dalam Pengajian Islam daripada Universiti Muhammadiyah Malaysia. Beliau merupakan pengasas dan pengarah di Islamic Renaissance Front.