Tentang Nalar: Wawancara bersama Ahmad Farouk Musa
April 2, 2019

Naratif Malaysia (NM): Untuk pengetahuan anda, kami sedang mengumpulkan suatu pangkalan data berkenaan kebebasan beragama (religious freedom). Kita tidak sahaja mengambil tokoh yang mungkin bersifat terbuka seperti anda sendiri, akan tetapi juga tokoh-tokoh yang boleh dikatakan daripada aliran konservatisme. Apa pandangan anda sendiri tentang kaedah perumusan tipologi begini—tanggapan seseorang sebagai modenis, konservatif, liberalis, tradisionalis, dll?

F: Tipologi yang paling bagus disumbangkan oleh Ahmad Fauzi Abdul Hamid (USM) dalam makalah beliau. Memang sudah ada orang yang buat tipologi berkenaan, tetapi beliau cuba petakan kumpulan ini dengan perhatian ke atas IRF, ISMA, IKRAM, JIM, dan lain-lain. Saya rasa hanya tiga itu sahaja, saya kurang pasti ada termasuk yang lain atau tidak. Makalah tersebut sudah lama, lebih kurang dalam empat tahun begitu. Anda boleh tengok di mana setiap kumpulan berada. Sebenarnya, label memang [bertujuan] untuk menjatuhkan orang dan sebagainya. Tapi tipologi ini penting; ia bermaksud kita dapat tahu kedudukan [spektrum ideologi/politik] satu-satu individu atau kumpulan dan sebagainya.

NM: Anda sendiri akan letakkan diri dalam kelompok mana?

F: Saya akan anggap diri saya sebagai seorang modenis. Bila dikatakan modenis ini bermaksud mereka yang mengikuti aliran Muhammad Abduh, Muhammad Rashid Ridha dan sebagainya. Mudahnya, daripada jalur Muhammad Abduh kerana Muhammad Rashid Ridha sedikit konservatif. Saya lihat orang yang pernah hasilkan tulisan yang bagus tentang ini—pengklasifikasian—ialah Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. Memang beliau letakkan kita [IRF] dalam kelompok modenis, dan saya fikir itu memang tepat.

NM: Bukankah golongan modenis pun ada banyak kelompok? Sejauh yang diketahui, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (MAZA) pun mendakwa dirinya sebagai modenis.

F: MAZA memang mendakwa dirinya sebagai modenis, tapi itulah… Sebab beliau tidaklah boleh dianggap sebagai modenis yang tulen. Orang sepertinya memang begitu. Beliau kadang-kadang ada gabungkan unsur-unsur modenis dengan unsur-unsur lain.

NM: Bagaimana pula dengan tokoh seperti Siddiq Fadhil?

F: Saya fikir beliau lebih mendekati separa-modenis? Mungkin juga lebih menghampiri tradisionalis.

NM: Jadi, apa yang melayakkan seseorang itu bergelar modenis?

F: Apa yang dikatakan sebagai modenis? Bagi saya, modenis adalah berpaksikan rasionalisme. Itu paksi utama kepada golongan modenis iaitu kesemuanya mestilah berasaskan rasionalisme. Maksudnya, kesemua teks al-Quran atau hadis mesti rasional dan tidak mungkin ada perkara yang tidak rasional—dengan pengecualian perkara-perkara akidah dan ibadah. Akidah ialah kepercayaan kepada Allah yang Maha Esa, percayakan kewujudan malaikat dan sebagainya. Itu bila kita perkatakan tentang perkara akidah, tapi perkara-perkara lain kesemuanya mesti berpaksikan kepada rasional.

NM: Jadi, apa perbezaan nilai yang dipegang oleh anda berbanding dengan orang-orang seperti MAZA?

F: Perbezaan antara saya dengan MAZA antara contoh yang paling senang ialah bagaimana saya dan MAZA menanggapi peristiwa Israk Mikraj. Bagi saya, walaupun peristiwa tersebut merupakan teks dalam al-Quran, tetapi teks al-Quran adalah teks yang boleh ditafsirkan. MAZA mentafsirkan teks tersebut sebagaimana golongan Salafi akan mentafsirkanya, iaitu mesti secara harfiah. Perkataan ‘abdihi’ atau hamba itu mereka maksudkan sebagai jasad dan roh, iaitu baginda pergi secara fizikal [ke sana]. Bagi saya, sebagai seorang rasionalis, tidak mungkin perkara tersebut berlaku secara jasad. Mustahil untuk seseorang manusia untuk pergi ke Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa kemudian ke Sidratul Muntaha dengan Buraq. Ini kerana sains tidak akan membuktikan perkara tersebut. Sebab perkara ini saya tuliskan dalam prakata kepada buku yang telah kami terjemahkan bertajuk Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin. Dalam buku tersebut, saya sudah ceritakan apa sebenarnya manhaj kami—macam mana kami berfikir. Bagaimana kami mempertimbang dan menyesuaikan (reconcile) teks-teks tersebut dengan apa yang dikehendaki daripada kefahaman tentang Israk Mikraj. Jadi bagi saya dan para ulamak modenis yang lain, Israk Mikraj itu tidak berlaku dalam mimpi seperti yang dikatakan oleh sesetengah orang. Tidak, sama sekali. Israk Mikraj itu berlaku dengan roh dan bukan dengan jasad. Dan perkara ini juga telah disebutkan dalam hadis oleh Aisyah bahawa Muhammad berada ditempat tidurnya [ketika peristiwa itu berlaku]. Maksudnya, memang jasad Nabi tidak berpindah. Kalau orang katakan bila berlakunya [peristiwa] ini adalah mukjizat, tapi bagi saya mukjizat yang lebih besar ialah bila roh dapat keluar dari jasad kita dan kemudiannya kembali dalam keadaan hidup. [Kebiasaannya] kita akan mati setelah roh berpisah [dari jasad], tetapi Nabi tetap hidup. Jadi, itu lebih mukjizat bagi saya.

NM: Tapi akan ada debat di sini bahawa dalam Islam turut mempertimbangkan dua aspek yang sama-sama [penting] iaitu aspek aqli dan naqli, ataupun ilmu wahyu (revealed knowledge) dan ilmu yang diperoleh (acquired knowledge). Jadi, bagaimana penekanan yang sangat besar terhadap rasional ini dapat diseimbangkan dengan ilmu wahyu?

F: Bagi saya—berkenaan ilmu wahyu—ada perkara-perkara yang kita katakan Ta’abbudi iaitu kita kena terima tanpa persoalkan kenapa perkara itu [perlu dilakukan]. Ada pula perkara Ta’aqquli iaitu yang kita boleh taakul dan rasionalkan untuk membolehkan kita menilai perkara tersebut. Misalnya keadilan. Di mana kita? Adakah kita memerlukan satu petunjuk untuk memberitahu bahawa [perkara] ini adil atau tidak? Bagi saya, rasional kita membolehkan kita memahami apa itu keadilan.

NM: Tapi maksud saya, adakah anda mengakui bahawa perkara tersebut [kemutlakan wahyu] wujud?

F: Seperti saya katakan, perkara yang melangkaui rasionaliti adalah perkara yang Ta’abbudi: kenapa kita kena sembahyang lima kali sehari, kenapa kita kena berpuasa pada bulan Ramadan. Itu adalah perkara-perkara Ta’abbudi yang saya rasa tidak perlu kita pertikaikan. Tapi yang hendak dipertikaikan adalah perkara-perkara yang kita boleh lihat dan tafsirkan walaupun ianya ada teks dalam al-Quran. Bagaimana kita menanggapinya? Bagi saya, rasionaliti adalah bahawa sesuatu itu tidak mungkin melanggari hukum sains. Ini kerana sains adalah daripada Allah. Allah menetapkan hukum graviti. Contohnya, sesuatu benda yang ada jisim, apabila dijatuhkan, akan tertakluk kepada hukum graviti di atas muka bumi. Orang yang tidak melihat kepada perkara rasionaliti akan mengatakan seseorang wali boleh berada di sini pada suatu kita dan boleh berada di Mekah pada ketika yang sama, atau boleh terbang di langit, di atas awan dan sebagainya. Bagi saya, ia adalah suatu perkara yang tidak rasional. Saya sebagai insan yang rasional sama sekali tidak boleh menerimanya.

NM: Bolehkah dirasionalkan kewujudan wali itu sendiri?

F: Apa dia [yang dimaksudkan dengan] wali? Kalau tengok pada hadis Riyadus Solihin, hadis sahih serti diriwatkan Imam Nawawi, kata ‘wali’ itu ialah mereka yang takut kepada Allah, yang rapat kepada Allah. Ianya bukan sesuatu atau seseorang yang mistik sepertimana difahami oleh orang Melayu sebagai wali. Pendek kata, wali ialah mereka yang takut kepada Allah.

NM: Adakah rasionaliti pun ada batas? Atau tidak terbatas?

F: Selagi mana sesuatu [perkara] itu didasarkan kepada rasionalisme kita, perkara itu berlaku, maka kita boleh terimanya. Tidak ada masalah bagi saya. Tapi perkara yang tidak rasional memang tidak rasionallah. Saya tak boleh terima kerana bagi saya, selaku orang sains, setiap perkara boleh dijelaskan.

NM: Dengan memposisikan Islam selari dengan rasionaliti, maka ini juga akan pergi kepada persoalan bahawa Islam itu boleh dianggap sebagai bersifat sejagat (universal) kerana sains juga bersifat sejagat. Adakah Islam hanya semata-mata bersifat sejagat ataupun Islam turut menghargai keunikan atau kekhususan [budaya/masyarakat]?

F: Tidak. Bagi saya ianya mempunyai dua komponen. Asas komponen tersebut adalah bersifat sejagat berdasarkan Surah Al Anbiyaa’:107, “(Dan tiadalah Kami mengutus kamu) hai Muhammad! (melainkan untuk menjadi rahmat) yakni merupakan rahmat (bagi semesta alam) manusia dan jin melalui kerasulanmu.” Jadi bila dikatakan rahmatan lil alamin, sekalian alam, maksudnya ia mesti bersifat sejagat. Akan tetapi, ia juga ada kekhususan dari segi pengamalan Islam itu sendiri. Contohnya bagaimana orang Arab akan beramal dengan Islam seperti penerimaan tentang hijab. Macam mana mereka berhijab itu merupakan [aspek] kekhususan bagi saya. Macam mana mereka berhijab, macam mana orang Turki berhijab, macam mana orang Indonesia berhijab dan sebagainya.

NM: Jadi kita boleh katakan bahawa “nilai adalah bersifat sejagat” manakala “pendekatan adalah khusus”?

F: Benar. Pendekatan adalah bersifat khusus.

NM: Tapi wujudkah kemungkinan untuk pendekatan yang bersifat khusus bercanggah dengan nilai yang bersifat sejagat?

F: Saya rasa kalau pendekatan itu melanggari nilai sejagat, maka mungkin ada kesalahan dalam pendekatan itu sendiri.

NM: Maknanya, nilai sejagat mengatasi pendekatan khusus?

F: Tepat. Yang Khusus mestilah bersamaan dengan Yang Sejagat. Jadi, kalau nilai sejagat Islam membawa keadilan; kalau suatu perkara itu dikatakan Islam, tetapi rupa-rupanya tidak ada keadilan di dalamnya, maka pasti ada yang tidak kena dengan perkara tersebut. Contohnya, kita kata Islam itu adil, tapi kita [juga] katakan… Ini hukum syariah—kita mesti hukum berdasarkan hukum syariah. Katakan sebagai contoh ada orang yang bertindak dan berperangai sebegitu, dan kita jatuhkan hukuman berdasarkan apa yang dianggap benar oleh syariah. Bagi saya, kalau perkara itu tidak lengkap serta menyebabkan berlakunya ketidakadilan, maka ianya bukanlah Islam. Saya tidak pasti sama ada anda dapat tangkap maksud saya atau tidak. Contohnya kalau orang itu dituduh mencuri berdasarkan saksi mata yang mengatakan mereka nampak seseorang mencuri. Akan tetapi, dalam Islam ada beragam tafsiran terhadap hukum shariah. Maka hukum shariah mestilah bersifat sejagat. Bagi saya, Islam diturunkan kepada umat yang ummi pada ketika itu—umat yang tidak tahu membaca, menulis, dan sebagainya. Sebab itu Allah tidak turunkan suatu perkara yang rumit untuk mereka fahami. Misalnya untuk menetapkan Ramadan atau Syawal. Ianya ditetapkan melalui rukyah dengan melihat [anak bulan]. Itu perkara paling mudah untuk melihatnya. Sebab itu Nabi pernah bersabda, “Kami adalah umat yang tidak tahu membaca dan mengira.” Bermaksud kalau kita sudah mempunyai pengetahuan yang maju sampaikan kita boleh mengira dan tahu jarak antara Pluto dengan Bumi serta jarak masa yang diperlukan untuk sampai ke sana, maka setelah kita sampai ke tahap tersebut, adakah kita masih lagi perlu melakukan rukyah? Bagi saya, Islam tidaklah sampai ke tahap yang harfiah sebegitu sehinggakan dikatakan bahawa, ‘Oh, Nabi buat rukyah, ini sunnah dan kita kena buat rukyah juga’. Tidak. Ini sebagai salah satu contoh yang hendak saya beritahu.

P: Contoh yang lebih tepat lagi adalah hukum murtad. Sesetengah orang menganggap hukum bagi murtad ialah bunuh. Walau bagaimanapun, ianya bercanggah dengan nilai sejagat ataupun hak asasi manusia—kalau kita katakan Islam adalah nilai sejagat, bagaimana dengan hal ini? Jadi, bagaimana pihak modenis mentafsirkan hukuman murtad?

F: Bagi saya dan golongoan modenis, hukuman murtad perlu dilihat pada prinsip al-Quran. Asas kepada surah al-Baqarah: 256, “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.” Maksudnya, setiap orang mempunyai pilihan. Dan kemudian ayat berikutnya, “Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Bermaksud kalau seseorang itu dapat melihat kebenaran tersebut dan kalau ia memegangnya, ia memegang kepada kebenaran. Dan tidak ada satupun ayat dalam al-Quran yang menyebut bahawa orang yang murtad akan dibunuh. Malahan ada ayat yang bermaksudnya, seseorang yang beriman, kemudian menjadi kafir, dan kembali beriman. Maknanya, kalau seseorang itu beriman dan menjadi kafir dibunuh, macam mana dia hendak kembali beriman? Bagi saya, secara rasionalnya perkara tersebut tak mungkin berlaku. Hal yang mengatakan tentang bunuh ini hanya terdapat dalam hadis; dan hadis tersebut juga dianggap daif oleh sesetengah ulama seperti Imam Asy-Syaukani [00:17:09.28]. Misalnya, “siapa yang meninggalkan agamanya, bunuhlah dia” (Bukhari, Nasai dan yang lainnya). Itu saja. Adakah Nabi pernah membunuh sesiapa yang keluar [daripada Islam]? Tidak. Orang yang datang dan mengatakan bahawa dia telah meninggalkan Islam, maka Nabi berkata “Balik kepada kaum kamu.” Contohnya Dr. Taha Jabir al-Alwani dalam bukunya La Ikraha fid-din (Tiada Paksaan Dalam Beragama). Jadi, konteks memainkan peranan penting. Contohnya Abu Bakar as-Siddiq yang membunuh golongan murtad. Itu sahabat. Takkan kita nak katakan para sahabat berbuat silap? Saya berpegang pada golongan modenis seperti Rashid Ghannouchi misalnya yang berpandangan bahawa daripada pandangan Abu Bakar as-Siddiq, tindakan golongan murtad pada ketika itu adalah pengkhianatan kepada negara (treason). Tindakan beliau adalah berdasarkan as-siyāsah, yakni berdasarkan sebab politik.

NM: Jadi, tindakan tersebut telah disekularkan, yang memindahkan daripada alasan agama kepada alasan negara?

F: Ya. Ringkasnya, ia disebabkan oleh pengkhianatan kepada negara, bukan kepada agama—berdasarkan sebab-sebab pemerintahan pada ketika itu. Dan kita tahu, sampai sekarangpun hukuman untuk khianat di kebanyakan negara adalah hukuman mati.

NM: Satu lagi isu antara kesejagatan dan kekhususan ini adalah bila kita meletakkan sempadan antara yang peribadi (private) dengan awam (public). Jadi, di mana letaknya ruang agama yang peribadi dan di mana ruang agama yang awam/umum? Kita tahu bahawa ada dua pembezaan yang biasa digunakan untuk menjelaskan tentang masyarakat. Satu bersifat awam dan satu bersifat peribadi. Jadi, agama sebenarnya ada dua dimensi. Ia boleh bersifat awam dan sekaligus peribadi. Justeru, bagaimana kita hendak menentukan pada ketika mana agama itu bersifat awam dan pada ketika mana pula agama itu bersifat peribadi? Sudah tentu, kita menyedari bahawa ada yang mengatakan bahawa agama ini sebenarnya perkara yang sangat peribadi. Jadi ia sepenuhnya tertakluk kepada individu. Akan tetapi, agama juga boleh bersifat awam. Di Malaysia sekarang pun kita sedang berdepan dengan perkara ini. Sebahagian golongan, liberal katakan, menegaskan bahawa agama adalah hak peribadi semata-mata. Namun begitu, kita memahami bahawa agama di Malaysia ini ada dimensi sosialnya. Sebagai contoh, ada usaha dalam kalangan parti-parti Islam—bukan sahaja di Malaysia—atau parti-parti sekular untuk turut menerima pandangan agama untuk mengukuhkan sistem sekular dengan menggunakan proses-proses agama. Maksudnya, mereka menggunakan kaedah seperti demokrasi deliberatif. Mereka meminta ulama memberikan sokongan kepada [dasar-dasar] perancangan keluarga misalnya. Jadi mereka menggunakan unsur-unsur agama untuk mengukuhkan sistem sekular. Nampaknya di sini agama sangat berfungsi dalam mengukuhkan masyarakat, atau lebih tepat lagi mengukuhkan sistem sekular?

F: Kita bercakap tentang apa yang anda katakan kekhususan, individualisme dan sebagainya. Bagi saya, ada beberapa bahagian dalam agama yang memerlukan hubungan individu dengan tuhan. Maksudnya, apa jua yang seseorang itu lakukan, perlu dilakukan semata-mata kerana tuhan. Ini hujah yang dikemukakan oleh Abdullahi Ahmed an-Nai’m dalam bukunya Islam and the Secular State yang mengatakan bahawa “seorang Muslim hanya akan menjadi seorang Muslim yang sebenar setelah dia mengerjakan segala sesuatu dalam hidupnya kerana takut akan Allah, bukan kerana takutkan autoriti.” Contohnya, kalau kita hendak bersolat Jumaat, kita melakukannya kerana kita takutkan tuhan dan kita percaya bahawa itu merupakan tanggungjawab yang perlu kita lakukan, bukan kerana kita takut pegawai agama akan datang dan tangkap kita jika kita tidak pergi. Jadi, kalau kita takut akan pegawai agama yang akan mengambil tindakan ke atas kita, maka kita bukanlah menjadi Muslim yang mukmin dan benar-benar ikhlas kepada tuhan.

NM: Tapi ini masih lagi menunjukkan bahawa agama hanya dalam perspektif peribadi semata-mata?

F: Maksud kami, sesuatu yang dilakukan oleh seseorang itu mestilah didasarkan kepada keyakinan peribadinya. Negara tidak sepatutnya memaksa (coerce) seseorang untuk membuat satu-satu perkara. Negara boleh memberitahu atau menyediakan apa-apa kemudahan untuk ini [praktis agama], tetapi negara tidak berfungsi untuk memaksa orang untuk melakukan kebaikan.

NM: Tapi saya fikir bahawa kita sebenarnya tidak menggunakan peranan agama sebaik-baiknya untuk membantu mengukuhkan sistem sekular. Maksudnya, dalam negara Muslim, kita mempunyai banyak potensi yang ada pada agama yang boleh membantu untuk mengukuhkan sistem sekular. Banyak undang-undang agama yang sebenarnya boleh membantu sistem sekular juga. Kenapa kita tidak menghargainya dari sudut itu dengan memberikan tumpuan kepada perkara tersebut sebagai sesuatu yang serius? Kenapa kita akhirnya hendak menyudutkan agama kepada individu semata-mata? Kenapa tidak ambil unsur sosial dalam agama sebagai perkara yang signifikan untuk diangkat?

F: Beginilah. Bagi saya, kalau dari segi kenegaraan, banyak unsur-unsur yang ada dalam Islam itu adalah unsur-unsur sejagat yang boleh digunakan dalam perkara ini [praktik kenegaraan]. Ianya cuma soal sama ada anda hendak melaksanakan perkara tersebut dengan menyebutnya—misalnya seperti kerajaan terdahulu yang melaksanakan penerapan nilai-nilai Islam. Adakah kita perlu menyatakan perkara tersebut secara terang, atau kita laksanakan dahulu dan masyarakat akan sedar bahawa ini adalah sebahagian daripada Islam? Mana yang lebih baik? Itu bergantung kepada sama ada kita hendak lakukan perkara itu atas sebab untuk mengaut keuntungan politik atau tidak. Itu saja bagi saya.

NM: Sebenarnya apa yang ingin kami ungkapkan ialah betapa kesejagatan pun mempunyai keterbatasannya. Ada satu persoalan lagi iaitu sebuah agenda tentang hak asasi manusia versi Islam. Adakah anda percaya bahawa Islam ada bentuk hak asasinya yang tersendiri? Atau, sudah memadai hak asasi sejagat yang diterima umum dalam masyarakat dunia?

F: Tidak. Cairo Declaration of Human Rights (CDHR) mengatakan bahawa Islam itu adalah hak asasi manusia. Tapi kalau kita bandingkan CDHR dengan United Nations Universal Declaration of Human Rights (UDHR), perbezaannya sangat banyak. Kerana CDHR penuh (replete) dengan perkataan ‘shariah’. Bagi saya—serta Abdullahi Na’im, Ebrahim Moosa, dan semua pakar perlembagaan, hak asasi, dan sebagainya—kalau kita gunakan perkataan ‘shariah’ itu, mereka akan mengatakan bahawa wujudkah walau sepotong ayat pun dalam al-Quran yang mengatakan bahawa perhambaan diharamkan? Kalau kita kata ‘shariah’. Perhambaan tidak pernah diharamkan dalam mana-mana ayat al-Quran. Artikel pertama UDHR, “All human beings are born free and equal in dignity and rights”. Dah tak wujud [tidak ada dalam al-Quran]. Macam mana kita nak kata semua orang [bebas dan sama rata] kalau Islam kata anda boleh ada hamba dan sebagainya? Jadi bagi saya ada masalah pada perkara tersebut kalau kita kata ianya sebagai hak asasi Islam sebab kalau ianya hak asasi Islam, ini bermakna kita percaya bahawa memang kena ada orang yang menjadi hamba abdi dan orang yang bebas dan merdeka. Jadi, akan berlaku satu percanggahan di situ.

NM: Bukankah sejarah Islam memang ada tradisi perhambaan, walaupun pada zaman Nabi?

F: Pandangan golongan modenis adalah kewujudan perhambaan pada ketika itu terlahir daripada keperluan ketika itu. Pada zaman itu, mana-mana empayar di dunia termasuklah Rom dan Parsi kesemuanya mempunyai institusi hamba abdi. Namun inti dalam kehendak daripada al-Quran adalah membebaskan hamba abdi, (istilah/petikan ayat)[00:26:58.14]. Kita tengoklah. Kalau buat ini, apa yang paling bagus ialah membebaskan hamba abdi. Segala-galanya adalah tentang membebaskan hamba abdi. Jadi kehendak daripada Islam adalah membebaskan hamba abdi. Cuma pada ketika itu, mengapa Nabi tidak terus membebaskan kesemua hamba abdi sekaligus adalah kerana—bagi saya—dari sudut sosioekonomi, perkara tersebut akan menyebabkan masalah. Kalau semua orang sudah merdeka, maka secara tiba-tiba akan wujud lebihan (surplus) manusia [sumber manusia] yang masuk ke dalam bidang ekonomi. Dan anda tahu bila mana tiba-tiba tidak ada pekerjaan dan sebagainya, ianya akan menjurus kepada kemerosotan ekonomi itu sendiri. Jadi pada ketika itu, ianya lebih baik untuk dilakukan secara berperingkat (gradual) berbanding secara tiba-tiba (sudden influx of free people into the market).

NM: Baik. Cuma kami kadang-kadang agak hairan. Dalam kalangan modenis, mereka selalu menggunakan bahasa moden untuk menjelaskan fenomena masyarakat, tapi [dalam masa yang sama] mereka cuba untuk menangani isu agama. Jadi, kenapa masih lagi berminat dengan isu-isu agama sedangkan yang paling tinggi dan terbaik adalah moden, global, dan sejagat? Kenapa masih lagi mahu bergelut dengan bahasa dan lenggok agama? Kenapa kita tidak terus berpaut pada yang lebih tinggi, yakni konsep rasional, moden, sejagat, dan sebagainya?

F: Hal ini kerana kita masih lagi mengenalpasti diri kita sebagai Muslim. Sebab orang Islam tertakluk kepada apa yang berada dalam ruang lingkup akidah dan ibadah. Bagi saya, masalahnya bukanlah dalam ruang lingkup akidah dan ibadah. Permasalahannya adalah perkara yang di luar daripada itu iaitu unsur-unsur sosial, kemasyarakatan dan sebagainya—apa yang anda sebut sebagai hak asasi manusia, hak wanita, dan masalah-masalah seperti itu. Dan benda ini berlaku dan terkait dengan pemahaman ke atas teks—bagaimana kita memahami teks tersebut. Sebab itu mahu tidak mahu, golongan modenis terpaksa menilai kembali teks tersebut dan menceritakan bahawa—Ya, kita berpegang pada teks, tetapi ini ialah kepercayaan kami berkenaan bagaiman teks tersebut sepatutnya difahami. Tidak ada paksaan dan tidak menjadi masalah. Tidak mengapa jika orang lain tidak mahu menerimanya, tapi kami percaya bahawa ini ialah jalan untuk maju ke hadapan dan ini adalah cara untuk memahami teks pada abad ke-21.

NM: Macam mana anda hendak letakkan posisi yang anda ambil ini ke dalam konteks Malaysia?

F: Kita akan jemput Abdullah Saeed tahun ini. Beliau berasal dari Mauritius tetapi mengajar di Universiti Melbourne. Beliau menulis tentang Reading the Quran in the 21st Century—bagaimana kita membaca al-Quran; bagaimana kita hendak memahami al-Quran dalam abad kita pada ketika ini. Dan saya rasa… Apa soalan anda sebentar tadi?

NM: Macam mana kita hendak menyesuaikan diri menerusi kefahaman Islam yang bersifat modenis ini dalam konteks Malaysia? Apa pendekatan yang anda ambil sebagai seorang modenis dalam konteks tempatan? Macam mana anda hendak masukkan idea-idea ‘kontroversi’ and tersebut ke dalam konteks tempat yang mana kita tahu bahawa Malaysia ini adalah negara majoriti Muslim? Ringkasnya, bagaimana kita hendak memajukan idea-idea progresif dan sebagainya ke dalam wacana awam?

F: Sebenarnya, perkara yang paling penting bagi saya adalah ruang, yakni ruang untuk wacana. Dengan kerajaan baru sekarang, kita nampak ada ruang untuk wacana berbanding kerajaan sebelum ini yang telah mengharamkan buku-buku kami, tangkapan, dan sebagainya. Dalam erti kata lain, bila ada ruang untuk wacana, di situ boleh berlaku pertembungan idea. Siapa yang menang atau kalah tidak menjadi soal di sini. Sejarah telah membuktikan ada golongan rasionalis yang kalah dan sebagainya. Sudah sampai masanya untuk kita memperdebatkan idea-idea kita secara terbuka dan selanjutnya mencadangkan idea-idea tersebut kepada masyarakat umum. Sama ada mereka terima atau tidak, itu merupakan keputusan mereka sendiri. Pentingnya, kita mesti mempunyai ruang [untuk berwacana]. Bagi saya, itu perkara yang paling penting.

NM: Baik, jadi anda mengakui sudah ada ruang sekarang? Apa strategi anda dalam zaman keterbukaan ini? Anda mengatakan bahawa anda tidak kisah siapa yang menang asalkan wujud ruang tersebut, tetapi apa strategi anda untuk memenangi sokongan daripada masyarakat umum?

F: Bagi saya, perkara yang penting adalah untuk kita terbitkan seberapa banyak idea-idea kita. Jadi anda nampak IRF tidak sahaja terbitkan buku, tetapi juga turut menterjemahkan buku-buku tertentu yang kita rasakan penting untuk dibaca, difahami, dan dinilai oleh umat Islam. Antara buku penting yang pernah kami terbitkan adalah buku yang diterjemahkan oleh Shuhaib, Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin (The Closing of the Muslim Mind)—yang saya rasakan ialah inti kepada apa yang pernah saya bawa sebenarnya. Bagaimana kita menanggapi perkara-perkara yang ada? Bagaimana kita mempertimbangkan kemunduran umat Islam yang berlaku pada masa kini dengan kemajuan umat Islam pada zaman Muktazilah sebelumnya? Apa yang berlaku? Bagi saya, atau kami semua, apabila kita membaca sejarah, kita melihat bahawa berlakunya kemunduran umat Islam pada ketika ini adalah disebabkan oleh Muslim yang menolak rasional dan akal serta berpegang kepada pendapat Asy’ariyah yang menolak sebab-akibat dan sebagainya. Imam al-Ghazali selalu sebut, dan beliau sebutkan dalam kitabnya. Kata beliau, kalau anda letakkan lilin dengan kapas, maka kapas itu akan dengan kehendak-Nya sendiri atau dengan perantaraan para malaikat-Nya. Dalam erti kata lain, tidak ada sebab-akibat. Beliau telah membuang segala sebab-akibat. Maksudnya, kesemuanya (kejadian digerakan tanpa sebab-akibat melainkan kuasa Allah). Sebab itu sekarang ramai orang Melayu percaya—‘Tak apa, makan ini boleh sembuh.’ Dan saya hairan—melencong sedikit, tapi saya perlu cakap—orang-orang yang berpendidkan tinggi seperti *** contohnya, ada berkongsi [di WhatsApp group] baru-baru ini kononnya ada satu cerita dari seorang individu yang menghidapi degupan jantung tidak sekata (atrial fibrillation). Tapi dia hanya baca Labbaika berkali-kali, kemudian masalah degupan jantung tak sekatanya selesai. Ianya datang daripada ***, dan saya jawab, takkanlah anda boleh percayakan ini. Bagi saya, ada masalah di mana orang macam *** pun boleh percaya kepada perkara-perkara begini. Anda faham, kan? Ada masalah di sini. Bagi saya, ada masalah yang nyata di sini. Macam mana orang yang berpendidikan seperti *** tiba-tiba boleh percaya bahawa jika buat perkara sebegini, maka anda boleh mendapat kesan sebegini. Perkara yang tidak boleh diterima secara saintifik sama sekali.

NM: Begitu juga dengan makanan sunnah?

F: Ya, tiba-tiba anda boleh percayakan perkara-perkara macam ini. Itu saya beri contoh. Sebab kita tengok di Malaysia sekarang, ramai orang yang percaya. Air yang telah dijampi dan dibacakan dengan ayat al-Quran dan sebagainya, dan dijual dengan harga yang mahal. Orang akan beli. Kenapa? Kerana kelemahan minda umat Islam pada ketika ini yang percaya bahawa benda-benda tersebut akan memberikan kesan.

NM: Selain daripada kritikan kepada gologan ini daripada aliran tradisionalis dan literalis, anda juga ada mengkritik golongan liberalis. Apakah pandangan anda terhadap mereka?

F: Bagi saya, ada pandangan mereka ada yang bersifat melampau. Umpamanya saranan supaya bersolat Jumaat pada hari Sabtu. Saranan sedemikian adalah kerana hari Jumaat adalah hari bekerja dan tampaknya solat pada hari Sabtu itu lebih layak. Akan tetapi saya dapati tidak ada sebarang nas al-Qur’an yang menyatakan sedemikian. Demikian juga ia tidak pernah dilakukan oleh Nabi. Sekiranya faktor masa yang menjadi punca utama, maka apa yang sepatutnya dilakukan adalah kembali kepada sunnah Nabi. Bagaimanakah Baginda mengerjakan solat Jumaat? Apa yang jelas dalam perlakuan Nabi sepertimana yang tercatat daripada sunnah ialah solat Nabi itu lebih panjang daripada khutbahnya. Maka dengan itu, kita akan tahu berapa panjang khutbah Nabi sekiranya kita tahu apakah bacaan Nabi dalam solat Jumaat. Telah jelas daripada sunnah bahawa Nabi membaca samada Surah al-Jumu’ah dalam rakaat pertama dan al-Munafiqun dalam rakaat kedua ataupun Surah al-A’la dalam raka’at pertama dan Surah al-Ghashiyah dalam rakaat kedua. Jika demikianlah panjang solat Nabi, maka sudah pasti khutbahnya tidak akan lebih panjang daripada itu. Dalam kata lain, solat Jumaat bukanlah solat yang mengambil masa yang panjang sehingga perlu untuk dilakukan pada hari Sabtu.

NM: Baik, kalau kita boleh ke belakang sikit untuk bercakap tentang kelemahan umat Islam di Malaysia ini; apa punca kelemahan ini? Satu, bila kita rasa perlu untuk melakukan sesuatu—modenis ada idea untuk kemajuan dan sebagainya. Jadi, mesti ada masalah. Apa punca masalah tersebut?

F: Saya membedah perkara ini sepertima Syed Syeikh al-Hadi membedah [perkara ini] pada awal abad ke-20. Beliau menulis sebuah buku, Agama Islam dan Akal. Hakikatnya, apa yang beliau huraikan tentang agama dan akal di dalam bukunya adalah perkara yang berlaku pada ketika itu. Dan perkara yang beliau perkatakan pada ketika itu masih lagi berlaku pada abad ke-21 ini iaitu umat Islam sekarang tidak menggunakan akal. Mereka tidak ada rasionaliti. Mereka enggan menggunakan rasional dan akal. Mereka lebih percaya kepada seorang bomoh misalnya yang boleh melakukan pembedahan batin dan membuang batu hempedu dan sebagainya. Mengapa? Itu kuasa Allah. Allah berkuasa untuk melakukannya. Dia tidak lagi meletakkan rasionalisme di situ. Dan bagi saya, umat Islam, atau umat Melayu pada ketika ini contohnya, tidak meletakkan rasionalisme [sebagai cara menanggapi fenomena]—apa yang dikemukakan oleh para Muktazilah berkurun dahulu. Akibatnya, kita jadi lemah dalam sains. Kita tidak akan maju sebab bila kita tidak percaya kepada sebab-akibat dan sebagainya, bagaimana kita hendak maju dalam sains? Bulan depan, University of Tehran, Inshaallah, akan menjemput saya untuk memberikan syarahan di sana. Salah satu topiknya adalah berkenaan Islam, sains, dan teknologi. Saya akan bercerita tentang perkara ini. Mengapa dan apa masalahnya. Mengapa kita ada masalah dengan sains dan teknologi dalam Islam. Sebab kita tidak percaya tentang apa yang kita lihat dan temui dengan sains. Sains adalah berdasarkan pembuktian. Bila saya dijemput oleh universiti-universiti sebelum ini untuk memberikan syarahan—tentang perubatan Islam—perkara pertama yang saya sebutkan ialah jika kita hendak bercakap soal perubatan Islam, bagi saya ianya adalah perubatan yang berasaskan pembuktian (evidence-based medicine). Itulah perubatan Islam. Kalau anda katakan perubatan [Islam] ini semata-mata kerana Nabi pernah buat seperti itu, maka ianya bukan perubatan Islam kerana perubatan ialah perkara yang sentiasa berkembang (evolving). Perkara yang orang tahu dan amal pada ketika itu tidak semestinya dapat kita buktikan dengan betul sekarang. Dan apa yang kita buat sekarang ni—mengapa kita lakukannya—adalah sebab pembuktian. Ada bukti yang mengatakan kalau kita gunakannya, makan antibiotik, ia oleh membunuh kuman dan sebagainya. Ianya berasaskan pembuktian, sebab itu kita percaya.

NM: Kenapa ada pasaran untuk golongan ini? Dan ia tampaknya semakin membesar.

F: Bagi saya, sebab utamanya adalah kerana lebih daripada 95 peratus [Melayu Muslim] adalah Asy’ariyah. Dan doktrin Asy’ariyah mengajar umat Islam supaya menjadi seperti ini, iaitu satu doktrin yang bagi saya self-defeating. Ia tidak akan membawa sebarang kemajuan. Saya tidak berminat untuk mengubah orang supaya meninggalkan mazhab Asy’ariyah. Tidak. Ia bukan persoalannya. Orang nak mengaku apapun, tidak ada masalah, sebab Nabi tidak pernah mengajar perkara ini dan tidak ada dalam al-Quran pun tentang Asy’ariyah atau sebagainya. Ianya tentang bagaimana anda menanggapi satu-satu perkara. Jadi, label itu tidak penting bagi saya— Asy’ariyah, Maturidiyah, atau apa sahaja pun tidak penting. Tapi yang penting adalah bagaimana kita menanggapi perkara-perkara yang ada. Dan bagi saya, kita perlu lihat perkara tersebut dalam aspek yang paling objektif, iaitu satu-satu perkara mesti boleh diterima oleh akal kita yang rasional. Tidak ada perkara yang tidak rasional yang berlaku dalam dunia ini.

NM: Nampaknya perkataan rasional menjadi kalimat yang sangat penting. Saya cuma berminat untuk tanya sedikit, iaitu sejauh mana tahap modenis anda? Sebab anda tadi menyatakan bahawa Israk dan Mikraj adalah bersifat rohaniah. Adakah kewujudan syurga dan negara itu juga bersifat rohaniah bukan jasadiah?

F: Syurga dan neraka ini adalah suatu perkara yang tuhan gambarkan dalam al-Quran. Bagi saya, dan golongan modenis seperti Muhammad Asad, ianya adalah gambaran-gambaran yang diberikan kepada kita tentang apa yang kita akan terima sebagai balasan. Saya beranggapan, kenapa perlu wujud balasan di akhirat adalah kerana kalau tidak ada balasan di akhirat, maka seseorang yang membunuh seribu orang dan tidak ada balasan di akhirat, maka tidak ada keadilan kepada tuhan. Konsep keadilan bagi para ulama Muktazilah adalah sesuatu yang baik itu akan menerima balasan yang baik dan sesuatu yang buruk itu akan menerima balasan yang buruk. Allah sentiasa bersifat adil. Ia berbeza dengan Asy’ariyah yang mengatakan bahawa Allah berkuasa untuk meletakkan seseorang yang beriman dan beramal ke dalam neraka sepertimana Allah berkuasa meletakkan seseorang yang fasik dan zalim ke dalam syurga. Sebab Allah maha berkuasa. Itu beza konsep antara Muktazilah dengan Asy’ariyah. Muktazilah percaya bahawa keadilan itu paling penting sebab itu antara lima prinsip Muktazilah. Kerana itu bagi saya, konsep syurga dan neraka ini adalah di mana keadilan Allah akan dapat ditunjukkan kepada makhluknya.

NM: Dan keadilan itu bersifat sejagat?

F: Tentu. Keadilan Allah itu maksudnya Allah akan balas berdasarkan apa yang manusia buat di atas muka bumi.

NM: Baik. Jadi persoalan yang lebih kritikal lagi adalah adakah bukan-Islam boleh masuk syurga? Atau boleh menerima pembalasan yang baik?

F: Bagi saya, sepertimana kalau kita baca Muhammad Asad dalam menafsirkan Surah al-Bayyinah. Konsep surah al-Bayyinah itu adalah bahawa kafir atau kafara itu bukan sebenarnya seperti yang kita fahami sekarang. Kafir dalam Islam itu bukan macam mana yang kita faham sekarang—kalau anda bukan Islam maka anda kafir. Ianya bukan begitu. Seorang kafir ini adalah orang yang menentang kebenaran apabila kebenaran itu datang kepadanya. Dia melawan dan menentang kebenaran itu. Itulah yang digelar kafir. Kerana itu, seorang yang bukan-Islam yang anda sebutkan sebagai kafir itu, bagi saya, [hanyalah] seorang bukan-Islam. Bagi dia, dia tidak pernah menerima apa-apa ilmu ataupun tidak pernah sampai kepada dia apa-apa penyataan tentang Islam atau bagaimana Islam itu menyuruh sepertimana yang dikehendaki Allah dalam al-Quran. Bagi saya, dia adalah seorang yang terselamat di akhirat, dan berdasarkan surah al-Bayyinah.

NM: Itu rasanya tidak sebegitu kontroversi. Ramai yang boleh bersetuju dengan idea ini. Tapi bagaimana dengan bukan Islam yang berbuat baik? Adakah ia juga boleh memasuki syurga?

F: Soalan yang tajam. Seorang Muslim yang hidupnya berbuat segala kejahatan boleh masuk syurga, tapi seorang bukan-Islam yang berbuat segala kebaikan akan ke neraka sebab dia tidak memeluk Islam? Bagi saya, perkara ini saya serahkan kepada tuhan. Allah yang maha adil, Allah yang akan menentukan. Bukan kita untuk menghakimi. Itu saja. Bagi saya, penghakiman kita serahkan kepada tuhan.

NM: Tapi kenapa anda tidak berani untuk menyatakan dia juga berhak untuk masuk syurga berdasarkan nilai keadilan yang bersifat sejagat? Konsep siapa berbuat baik akan menerima kebaikan, siapa berbuat jahat akan menerima kejahatan.

F: Kerana di sana, bagi saya, ayat Ali Imran: 19 tepat menyatakan bahawa, “Sesungguhnya Agama (Deen) di sisi Allah hanyalah Islam, tidaklah mereka yang diberi al-Kitab sehinggalah telah datang kepada mereka ilmu (tahu yang benar) kecuali mereka melampaui batas sesama mereka, barangsiapa yang kufur dengan keterangan dari Allah, sesungguhnya Allah amat pantas perhitunganNya”. Al-Islam itu bukan al-Islam yang kita faham pada masa sekarang ini. Al-Islam itu adalah al-Islam yang sebenarnya membawa kepada ketauhidan kepada tuhan dan sebagainya. Kerana itu bagi saya, bila Allah sebut dalam al-Quran juga bahawa as-Sobi’in dan ahlul kitab dan sebagainya, semua ini menunjukkan bahawa kemungkinan di sana ada juga rahmat tuhan kepada golongan mereka. Selama mana mereka tidak mengingkari kewujudan tuhan dan kekuasaan-Nya.

NM: Maksudnya, kalau orang yang tidak percaya tuhan tapi berbuat baik, akan masuk neraka? Ateis contohnya.

F: Sebab itu saya kata ianya bergantung. Saya tak menghakimi. Saya tidak boleh nak menghakimi mereka. Dan saya tidak suka untuk hakimi mereka.

NM: Maknanya, anda rupanya bukanlah seorang universalis yang mutlak?

F: Ya. Boleh kata begitulah.

 


Wawancara ini telah diselenggara oleh Naratif Malaysia. Pautan asal boleh didapati di: https://naratifmalaysia.com/2019/04/01/tentang-nalar-wawancara-bersama-ahmad-farouk-musa/

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022